Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan terus teroka cara perkukuh jaringan sosial; pertingkat kehidupan rakyat di tengah COVID-19, kata Masagos

Pemerintah akan terus meneroka cara-cara bagaimana ia boleh mengukuhkan lebih lanjut jaringan keselamatan sosial dan skim bantuan bagi meningkatkan kehidupan rakyat yang memerlukan, sedang Singapura membangunkan semula ekonominya di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan terus teroka cara perkukuh jaringan sosial; pertingkat kehidupan rakyat di tengah COVID-19, kata Masagos

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

SINGAPURA: Pemerintah akan terus meneroka cara-cara bagaimana ia boleh mengukuhkan lebih lanjut jaringan keselamatan sosial dan skim bantuan bagi meningkatkan kehidupan rakyat yang memerlukan, sedang Singapura membangunkan semula ekonominya di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Jumaat (9 Okt) ketika memberikan kemas kini tentang bantuan yang dihulurkan ComCare sejak setahun lalu.

Sebagai sebahagian daripada jaringan keselamatan sosial buat rakyat tempatan, ComCare menghulurkan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah melalui bantuan yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

"Kami menyediakan bantuan yang menyeluruh, terselaras dan mudah untuk rakyat Singapura yang memerlukan menerusi ComCare," tulis Encik Masagos dalam catatan Facebooknya itu.

"Jaringan keselamatan ini dilengkapi dengan skim-skim bantuan sementara Pemerintah semasa COVID-19 seperti Dana Bantuan Kewangan Sementara, Geran Bantuan COVID-19, Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS)
dan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bagi membantu warga Singapura yang terjejas dari segi ekonomi akibat pandemik itu."

Sepanjang tahun kewangan lalu yang berakhir pada Mac 2020, kata Encik Masagos, bantuan tunai bernilai S$151 juta diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kepada sekitar 78,600 penerima bantuan melalui ComCare. Ini merupakan satu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri itu turut berkongsi bahawa sepanjang tempoh pandemik COVID-19, MSF juga secara proaktif mendampingi golongan bergaji rendah dan mudah terjejas. Menerusi inisiatif pendampingan Rangkaian Masyarakat SGCares, para pegawai MSF mendekati keluarga yang tinggal di flat-flat satu dan dua bilik bagi memaklumkan mereka tentang skim bantuan dan khidmat jagaan yang tersedia bagi warga tua selain bentuk sokongan untuk pekerja berpendapatan rendah.

Namun sedang Singapura terus mengalami kesan ekonomi angkara COVID-19, Encik Masagos berkata lebih ramai rakyat Singapura akan memerlukan bantuan sedang mereka berusaha untuk bangkit semula.

"Keperluan akan terus berkembang manakala sumber akan menjadi semakin berkurangan. Penting kita menggunakan sumber-sumber ini dengan baik dan memaksimumkan kesan sosialnya," ujar Encik Masagos.

Beliau menasihati individu yang memerlukan bantuan sosial mahupun mereka yang mengenali sesiapa dengan kebutuhan seumpama itu untuk menghubungi talian ComCare di 1800-222-0000 atau mengunjungi Pejabat Perkhidmatan Sosial yang terletak berdekatan (go.gov.sg/sso-locator).

"Bersama-sama, kita boleh mengatasi krisis kesihatan dan ekonomi ini."

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita