Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan terus pantau keadaan; sediakan sokongan dan geran dengan kenaikan kos perniagaan di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Sep 2022 09:18PM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 11:37PM

SINGAPURA: Pemerintah memantau secara teliti kenaikan kos perniagaan di Singapura dengan harga bekalan tenaga yang naik mendadak.

Ia juga memerhatikan kos-kos kemudahan lain di tengah-tengah gangguan bekalan global dan pasaran buruh yang ketat.

Dalam sesi parlimen hari ini (13 Sep), Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan, Low Yen Ling berkata kos menghasilkan satu unit pengeluaran sudah meningkat dalam beberapa sektor.

Untuk sektor perkhidmatan misalnya, ia mencatat kenaikan tahun ke tahun sebanyak 7.2 peratus.

Kadar kenaikan itu lebih pantas berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagi sektor pengilangan pula, ia naik 5.2 peratus - iaitu lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

Ini akibat faktor-faktor luaran dan domestik, termasuk harga bagi bekalan tenaga yang naik secara mendadak dan dijangka terus tinggi di tengah-tengah perang Rusia dan Ukraine serta gangguan bekalan sejagat yang berpanjangan.

"Secara domestik, pasaran buruh yang ketat akan terus mengenakan tekanan yang lebih pada kos-kos buruh," kata Cik Low.

PEMERINTAH AKAN TERUS BERI SOKONGAN BERSASAR YANG DIPERLUKAN KEPADA PERNIAGAAN

Lantaran itu, pemerintah menyatakan ia akan terus memberi sokongan secara bersasar yang diperlukan kepada perniagaan.

Ini termasuk bantuan pembayaran untuk sektor-sektor paling teruk terjejas dan geran untuk membantu mereka tangani harga elektrik.

"Sedang kami menyediakan pelepasan jangka pendek untuk membantu perniagaan menangani kenaikan kos, kami tidak akan mengurangkan usaha-usaha jangka panjang kami untuk meningkatkan daya penghasilan, membina keupayaan dan mengubah perniagaan kita untuk meraih peluang baru," ujar Cik Low.

"Ini kerana satu-satunya cara mampan untuk perniagaan tangani tekanan kos dalam jangka masa panjang ini adalah untuk menjadi lebih produktif dan berdaya saing," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Cik Low menekankan bahawa pemerintah akan sentiasa menyediakan sokongan untuk perniagaan memperkukuh keupayaan dan meraih pencapaian baru menerusi skim-skim seperti Geran Pembangunan Perusahaan dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan