Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan terus kerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam rangsang kecemerlangan, kejayaan

Pemerintah akan terus bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk merangsang kejayaan dan kecemerlangannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan terus kerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam rangsang kecemerlangan, kejayaan

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam. (Gambar: Petikan dari video)

SINGAPURA: Pemerintah akan terus bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk merangsang kejayaan dan kecemerlangannya.

Segala kejayaan yang sudah dicapai pula harus terus dibina demi menyumbang kepada sebuah masyarakat Melayu/Islam yang berkembang maju, bersepadu dan bertenaga.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam berkata demikian hari ini (18 Nov) di acara penyampaian Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian.

Dalam ucapannya di majlis itu, Encik Shanmugam menggariskan tiga pencapaian besar masyarakat Melayu/Islam.

Pertama, pendapatan median bulanan keluarga Melayu melonjak lebih 80 peratus dalam tempoh 15 tahun - iaitu daripada sekitar $2,900 pada tahun 2000 kepada sekitar $5,340 pada 2015.

Kedua, lebih 90 peratus pelajar Melayu kini mengikuti pendidikan posmenengah. Malah 1 dalam 2 pelajar Melayu kini mengikuti diploma atau ijazah sepenuh masa, berbanding hanya 1 dalam 4 pelajar sekitar dua dekad lalu.

Ketiga, sekitar 90 peratus keluarga Melayu memiliki rumah sendiri, dengan lebih 60 peratus daripada mereka menetap di rumah 4 bilik atau lebih besar.

Namun demikian, Encik Shanmugam menekankan bahawa untuk terus berjaya, masyarakat Melayu juga perlu ada generasi seterusnya yang bertenaga. Beliau melahirkan kebimbangan tentang kadar kesuburan atau kelahiran bayi yang juga semakin merosot di kalangan masyarakat Melayu.

"Keseluruhan Kadar Kesuburan penduduk Melayu merosot. Ia merosot daripada 1.85 pada 2018 kepada 1.80 pada 2019. Ini di bawah kadar penggantian 2.1. Jadi, masyarakat Melayu tidak menggantikan diri mereka.

"Memang kadar ini lebih teruk dalam kalangan masyarakat Cina dan India tetapi ini bukan sesuatu yang menyenangkan. Sukar untuk (masyarakat) berjaya kalau anda tidak punyai anak-anak," kata Encik Shanmugam.

PEGUAM KANAN, MOHAMED FAIZAL, JADI PENERIMA ANUGERAH JAUHARI 2020

Di majlis hari ini, anak Melayu pertama yang dilantik menjadi Peguam Kanan awal tahun ini, Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari 2020.

Beliau yang sekarang bertugas sebagai Timbalan Ketua Pendakwa Raya di AGC itu juga merupakan Peguam Kanan paling muda dilantik pada usia 39 tahun.

Selain kerjaya guaman, Encik Faizal turut aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan pernah menerima Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden pada tahun 2015. Encik Faizal merupakan individu Muslim kedua dalam sejarah anugerah tersebut untuk menerimanya.

Beliau juga berkhidmat dalam Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan melakukan tugasan sebagai tenaga pengajar sampingan di beberapa institusi.

Encik Faizal aktif menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi pelibatannya dengan MENDAKI, khususnya bagi inisiatif-inisiatif pendidikan.

Encik Shanmugam dalam ucapannya menyifatkan Encik Faizal sebagai "peran contoh terbaik" bukan sahaja untuk masyarakat Melayu/Islam. Malah untuk semua peguam muda di Singapura.

Bagi Encik Faizal, pengiktirafan yang diterima hari ini adalah hasil pengorbanan kedua ibu bapanya.

"Saya merasa amat bersyukur menerima anugerah ini kerana ia merupakan satu penghormatan bagi saya. Daripada perspektif saya ini merupakan penghasilan, pengorbanan, kasih sayang dan pendidikan ibu bapa saya kepada saya dan tiga adik-beradik saya," kata beliau.

Encik Faizal berharap kejayaan dan pengiktirafan ini dapat menyuntik semangat dan inspirasi dalam kalangan anggota masyarakat Melayu/Islam untuk sentiasa berusaha mencapai cita-cita mereka.

"Ini merupakan satu cerminan potensi masyarakat kami untuk cemerlang dalam bidang-bidang profesional sama ada bidang guaman atau bidang-bidang profesional yang lain.

"Secara peribadi saya mengenali ramai individu Melayu/Islam muda yang amat berpotensi dan saya yakin bahawa mereka akan mencapai kecemerlangan yang sama atau serupa atau lebih hebat lagi pada masa yang akan datang," ujar beliau.

IKHSAN FANDI TERIMA ANUGERAH JAUHARI HARAPAN

Anugerah Jauhari Harapan pula diberi kepada pemain bola sepak kebangsaan Ikhsan Fandi, yang kini bermain dengan Jerv - kelab Divisyen Satu Norway.

Ikhsan sudahpun menjaringkan 10 gol di Eropah sejauh ini - suatu pencapaian dan inspirasi bagi ramai anak muda Singapura.

Dia mengikuti jejak langkah bapanya sendiri - bekas pemain kebangsaan Fandi Ahmad - menyarung jersi kelab Eropah.

Ikhsan, 21 tahun, mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada tahun 2018 ketika berusia 19 tahun.

Ikhsan Fandi. (Gambar: Laman Raufoss)

Ikhsan Fandi. (Gambar: Laman Raufoss)

Anak muda itu tidak berada di Singapura kerana terus berada di Norway buat masa ini. Mewakili anaknya di majlis anugerah itu, Fandi melahirkan rasa bangga atas pencapaian anak keduanya itu.

"Sebagai seorang ayah saya rasa bangga pasal Ikhsan mendapat anugerah ini. Anugerah yang tak dia sangkakan tapi bagi saya ini indikasi bagus untuk anak-anak muda kita belajar berdikari supaya mereka punya keinginan impian akan tercapai.

"Saya tahu Ikhsan akan bekerja lebih keras. Selain di bermain bola sepak untuk diri dia dan keluarga tapi dia harus ingat juga dia mewakili bendera Singapura," kata Fandi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan