Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan terus jadi rakan berkekalan masyarakat Melayu untuk capai taraf kehidupan lebih baik - Iswaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan terus jadi rakan berkekalan masyarakat Melayu untuk capai taraf kehidupan lebih baik - Iswaran

Menteri Iswaran di majlis penyampaian Anugerah Jauhari 2021. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Pemerintah Singapura akan terus menjadi “rakan berkekalan” masyarakat Melayu/Islam dalam usahanya mencapai taraf kehidupan lebih baik menerusi pendidikan, menimba kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat. 

Menteri Pengangkutan S Iswaran memberi jaminan itu dalam ucapannya selaku tetamu terhormat di majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian pada Rabu (22 Dis).

Tiga anggota masyarakat Melayu menerima pengiktirafan berprestij itu atas pencapaian mereka yang begitu menyerlah dalam kerjaya masing-masing. 

Cik Shirin Hamid, yang bakal menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Maklumat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menjadi salah seorang penerima Anugerah Jauhari kali ini.

Allahyarham Sarkasi Said - tokoh batik Singapura - turut menerima pengiktirafan sama. Ini kali pertama Anugerah Jauhari disampaikan kepada seorang tokoh yang sudah berpulang.

Atlit lawan pedang, Kiria Tikanah Abdul Rahman, pula menerima Anugerah Jauhari Harapan. Beliau mewakili Singapura di Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

Kisah kejayaan tiga penerima Anugerah Jauhari ini, kata Encik Iswaran, menunjukkan kejayaan yang dikecapi rakyat Singapura cukup pelbagai. 

Masyarakat Melayu secara umumnya juga, tambah beliau, mencatat kemajuan ketara dalam pendidikan, pekerjaan dan juga pendapatan. 

“Kami sebagai sebuah negara bangga akan pencapaian-pencapaian ini, sentiasa ingat bahawa semua ini dapat dilakukan hasil usaha masyarakat secara kolektif dan berterusan menerusi pendidikan, menimba kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat. Pemerintah akan terus menjadi rakan berkekalan masyarakat Melayu/Islam dalam usaha penting ini,” ujar Encik Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan. 

2 PENGAJARAN PENTING DARI KISAH KEJAYAAN PENERIMA ANUGERAH JAUHARI 

Mengulas lebih lanjut, Encik Iswaran berkata orang ramai boleh mencontohi dua ciri para penerima Anugerah Jauhari tahun ini.

“Pertama, mereka mencerminkan semangat berdaya tahan. Mereka tidak berputus asa dalam menghadapi cabaran, malah sentiasa tabah dalam mengharungi apa jua kemungkinan,” kata Encik Iswaran. 

Kedua, para penerima mempamerkan semangat kegigihan dan kerja keras, katanya lagi.

“Bak kata pepatah – Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang - untuk meraih hasil yang diinginkan, seseorang itu perlu berusaha dengan gigih.”

Allahyarham Sarkasi, Cik Shirin dan Cik Kiria, jelas Encik Iswaran, “bukan sahaja telah bekerja keras untuk menjadi mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mementingkan pembelajaran sepanjang hayat supaya dapat kekal relevan dalam usaha mereka mengejar kecemerlangan”. 

Lebih penting lagi, kisah-kisah kejayaan ini akan mencerminkan semangat kental masyarakat di tengah-tengah pandemik, kata Encik Iswaran.

“Apabila sejarah pandemik ini ditulis, ia tidak boleh hanya naratif tentang kesan mendalamnya terhadap kehidupan berbilion orang di seluruh dunia. Ia juga harus menceritakan keupayaan kita berdiri teguh walaupun berdepan cabaran besar, bersatu padu dalam masa-masa paling sukar, dan pada dasarnya, semangat ihsan yang luar biasa.”

Sejak dimulakan pada 1998, seramai 23 tokoh dan sebuah pertubuhan sudah diberi pengiktirafan Anugerah Jauhari Berita Harian atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan