Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan terus beri sokongan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Dr Faishal Ibrahim

Pemerintah akan terus memberi sokongan dana, sumber dan kepakaran kepada usaha-usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan terus beri sokongan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Dr Faishal Ibrahim

Menteri Negara MHA merangkap MND Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

SINGAPURA: Pemerintah akan terus memberi sokongan dana, sumber dan kepakaran kepada usaha-usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Ini akan dilakukan melalui agensi-agensi seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim memberi jaminan tersebut semasa melancarkan Pesta Buku Melayu Singapura 2020 pada Ahad malam (13 Sep).

Beliau menambah sokongan itu lebih penting lagi pada zaman kini yang mana masyarakat berdepan dengan cabaran seperti penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dan keperluan untuk memanfaatkan teknologi.

MASYRAKAT PERLU BERI KEPRIHATINAN

Dalam ucapannya, Dr Faishal juga merujuk kepada perangkaan Jabatan Statistik Singapura pada 2015 yang melaporkan penggunaan bahasa Melayu di rumah merosot dari 14 peratus pada 2000 kepada 10.7 peratus pada 2015.

Masalah tersebut, katanya, adalah satu titik keprihatinan yang perlu diberi perhatian oleh seluruh masyarakat.

"Ia menjejas daya tahan Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi Bahasa Melayu merupakan penghubung warisan budaya kita, pembentukan jati diri bangsa, dan khazanah ilmu dan sastera yang wujud semenjak beratus tahun dahulu," ujar beliau.

Lantaran itu, inisiatif seperti Pesta Buku Melayu Singapura adalah penting dalam merancakkan lagi perkembangan sastera Melayu dan menambahkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Dr Faishal berkata: "Memandangkan bahasa Inggeris lebih dominan dari segi pemilihan bahan bacaan serta bahasa komunikasi di rumah, sekolah, pejabat dan suasana santai, penting bagi kita untuk terus menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang lebih dari segi kualiti dan jumlah.

"Sudah tentu terdapat keperluan bagi penerbitan bermutu tinggi yang dapat menggalakkan pembaca, tidak kira umur atau latar belakang mereka, menghayati karya dalam bahasa Melayu dan sekaligus meminati bahasa kebangsaan negara kita."

PERLU BAGI PENGGIAT MANFAATKAN WADAH DIGITAL

Dalam pada itu, Dr Faishal menambah bahawa pandemik COVID-19 membuktikan betapa perlu dan penting untuk masyarakat lebih celik teknologi.

Ini termasuk juga usaha dalam memajukan bahasa Melayu kepada orang ramai.

Dr Faishal berharap perkembangan dalam era digital dilihat sebagai satu peluang baru bagi pihak berkepentingan memanfaatkan teknologi seperti menghasilkan e-buku, buku audio dan aplikasi mudah alih.

Ini demi menyediakan karya Melayu kepada khalayak ramai serta menyumbang kepada keupayaan kedwibahasaan masyarakat.

"Pemerintah akan terus memberi sokongan seperti dana, sumber dan kepakaran. Semoga usaha penulis dan syarikat penerbitan tempatan berjaya dan meninggikan martabat karya-karya sastera Melayu di persada Singapura dan antarabangsa," seru Dr Faishal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan