Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan terus bantu rakyat Singapura tingkatkan diri agar lebih berdaya saing: SM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jan 2026 06:39PM Dikemas Kini : 27 Jan 2026 06:53PM
SINGAPURA: Pemerintah akan membangunkan program - dan sebahagian daripadanya akan diumumkan dalam Belanjawan akan datang - untuk menyokong individu dan perniagaan mengasah kemahiran dan menyesuaikan diri menghadapi dunia yang bergolak, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Sabtu (17 Januari).

Semasa berucap di majlis Anugerah Edusave Teck Ghee di Sekolah Rendah Teck Ghee, SM Lee berkata rakyat Singapura harus terus pertingkatkan diri mereka, termasuk mempelajari kemahiran baharu berkaitan kecerdasan buatan, untuk "kekal berguna, kekal dihargai, dapat memberi sumbangan dan menjaga diri kita dalam kehidupan".

Syarikat-syarikat juga perlu menyesuaikan diri dalam dunia yang kian bergolak dengan mengubah dan mencipta semula diri mereka agar kekal berdaya saing dan terus menyediakan pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura, tambahnya.

Ini penting dalam menghadapi keadaan dunia yang tidak menentu, kata SM Lee, sambil menukil contoh seperti ketegangan perdagangan Amerika Ssyarikat-China dan ketidakseimbangan lain dalam perdagangan dunia.

"Namun, kita semua terbabit dalam hal ini. Jadi, pemerintah akan memainkan peranan dengan membangunkan program untuk menyokong individu dan perniagaan, bagi menjadikan Singapura lebih berdaya saing," katanya.

SM Lee menambah bahawa pemerintah mempunyai sumber untuk melakukannya dan akan terus berbuat demikian, termasuk dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 12 Februari.

Semasa berucap kepada para pelajar di majlis tersebut, beliau berkata pemerintah akan terus melabur dalam golongan muda untuk mempersiap mereka merebut peluang dan menghadapi cabaran.

"Kami mahu anda membesar dengan kemahiran yang anda perlukan. Tetapi pada masa yang sama, kami mahu anda membesar sebagai orang yang baik, menyumbang kepada masyarakat dan Singapura."

SM Lee berkata bahawa Singapura berada di "kedudukan yang baik dalam dunia yang bermasalah", di tengah-tengah isu-isu seperti konflik Thailand-Kemboja, antara lain.

Beliau menarik perhatian tentang ekonomi Singapura yang mencatat pertumbuhan hampir 5 peratus, peningkatan pendapatan dan inflasi yang lebih rendah.

"Kita stabil, kita boleh dijangka, kita selamat, dan kita boleh diyakini. Jadi kita menyerlah dan kita menjadi tempat yang mantap untuk menjalankan perniagaan, dan merupakan rakan kongsi yang diingini," kata SM Lee.

Beliau menambah bahawa Singapura "boleh berasa yakin tahun ini dan pada masa akan datang".

"Tetapi jika anda bertanya kepada saya kejutan apa yang boleh kita jangkakan tahun ini - saya tidak tahu kejutan apa yang boleh datang kerana dunia masih bergolak."

Ketidakseimbangan perdagangan global, misalnya, bermakna negara-negara lain mungkin mengambil langkah untuk melindungi industri domestik mereka dengan menggubal tarif dan halangan import.

Ini akan mendatangkan kesan terhadap Singapura kerana ia akan menjejas eksport dan pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

"Oleh itu, kita tidak boleh berfikir bahawa hanya kerana tahun lepas baik-baik saja, masalah kita sudah hilang. Kita mesti memandang perkara ini dengan sangat, sangat serius."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita