Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan terus bantu rakyat SG jika kos sara hidup semakin memburuk

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Nov 2023 06:54PM Dikemas Kini : 11 Nov 2023 10:44PM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pemerintah akan lakukan lebih banyak lagi untuk rakyat sekiranya kos sara hidup semakin memburuk.

Sedang pemerintah terus memantau perkembangan, DPM Wong menggesa rakyat Singapura agar kekal bersatu padu serta saling prihatin.

Dengan ini, Singapura mampu mengharungi apa-apa cabaran sekalipun.

Gesaan DPM Wong itu disampaikan semasa acara 'Shaping Hearts' di Hab Tampines Kita pada Sabtu (11 Nov).

Ia mempamerkan karya-karya seni hasil sentuhan golongan kurang upaya, yang boleh dibeli demi menyokong sebuah masyarakat lebih inklusif.

Dana terkumpul akan disalurkan kepada dermasiswa bernilai $2,000 serta biasiswa $5,000, untuk penggiat seni mengasah bakat mereka.

CDC Timur Laut berharap dapat mengumpulkan dana berjumlah S$750,000 bagi tujuan tersebut.

Di pameran itu, DPM Wong turut menggesa para peniaga untuk menampung keperluan golongan kurang upaya.

Beliau juga menggalak kumpulan-kumpulan masyarakat supaya berkongsi pengalaman dan kepakaran, serta rakyat Singapura untuk membuka hati kepada golongan yang memerlukan.

Pemerintah pula membantu dengan mengukuhkan khidmat sokongan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadikan ruang awam lebih mudah diakses.

Tambah DPM Wong, pemerintah juga sedang memantau dengan teliti kenaikan harga - satu masalah yang sedang dihadapi seluruh dunia.

DPM Wong berkata: "Jika inflasi bertambah teruk dan keadaan kekal sukar, tentunya pemerintah akan lakukan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat Singapura. Kesimpulannya, apa yang kita ingin sentiasa raikan adalah kekukuhan dan perpaduan yang dinikmati Singapura."
 
Sumber : CNA/FZ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita