Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan sokong perniagaan warisan, kegiatan budaya untuk lestarikan warisan Kampong Gelam: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Apr 2026 06:19PM Dikemas Kini : 17 May 2026 12:55PM

SINGAPURA: Pemerintah akan terus menyokong usaha untuk melestarikan warisan di Kampong Gelam dan memastikan kawasan itu terus gemilang.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata ini akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dan menyokong perniagaan warisan dan kegiatan kebudayaan.

Beliau berucap di majlis merasmikan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) pada Sabtu (25 April).

Lebih daripada sekadar sebuah muzium, PM Wong menggalak pihak pengurusan TWM untuk juga memperdalam kolaborasi dengan rakan kerja dan masyarakat lain.

Related article image
PM Wong teringat 20 tahun lagi berada di majlis pelancaran TWM dan gembira untuk kembali merasmikan pembukaan semulanya. (Gambar: Taman Warisan Melayu)


"Saya menggalak TWM untuk bekerjasama rapat dengan rakan kerja di sini dan saya gembira melihat anda sudah melakukannya dan saya lihat ramai daripada mereka di sini, rakan-rakan kita dari Kampong Gelam Alliance dan banyak lagi kerjasama yang sudah terjalin untuk menjayakan perarakan budaya, untuk bekerja rapat untuk meraikan warisan bersama kawasan ini dan memastikan kawasan ini kekal meriah dan hidup. Pemerintah akan terus memainkan peranan kami untuk menyokong usaha-usaha ini dengan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan menyokong perniagaan warisan serta kegiatan kebudayaan," kata PM Wong.

"Saya juga menggalak TWM untuk memperdalam kerjasama merentas komuniti. Cipta lebih banyak peluang untuk dialog dan pertukaran, melalui program dan persembahan merentas budaya. Jadikan ini sebagai ruang di mana budaya bukan sahaja dipelihara tetapi dihayati dan dikongsi di mana lebih ramai warga Singapura dapat mengalami sendiri budaya Melayu kita dan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang rumpun akar dan identiti bersama kita," tambahnya.

WARISAN MELAYU SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH SG

Related article image
Antara peserta dalam Perarakan Budaya Pesta Pecah Panggung. (Gambar: Nursyazwani Sanep, Athirah Karim)
Setelah menjalani kerja-kerja naik taraf selama lebih tiga tahun, bangunan bersejarah ini kembali dibuka kepada umum dengan pelbagai tawaran menarik.

Selain berwajah baharu, para pengunjung boleh menikmati 279 artifak di enam galeri yang diberi nafas baharu.

Ia mempamerkan kekayaan khazanah warisan Melayu serta kerencaman budaya kumpulan-kumpulan etnik seperti Jawa, Banjar dan masyarakat Orang Pulau.

 
Related article image
PM Wong melihat antara pameran yang memaparkan 279 artifak di TWM. (Gambar: Taman Warisan Melayu)
"Warisan masyarakat Melayu Singapura adalah sebahagian daripada kisah negara kita. Warisan anda ialah warisan Singapura. Sebab itulah, kami tubuhkan Taman Warisan Melayu lebih 20 tahun lalu untuk menghargai warisan ini bersama semua rakyat Singapura. Hari ini, kita raikan pembukaan semula TWM dengan wajah yang baharu. TWM kini tampil dengan pameran yang lebih segar dan kemudahan yang lebih baik," ujar PM Wong dalam ucapannya.

"Semoga usaha ini dapat mendekatkan generasi muda kepada kisah silam kita dan membantu mereka menghayati nilai bersama serta memupuk jati diri Melayu Singapura yang unik. Pusat ini milik masyarakat dan kejayaan pusat ini bergantung pada kita semua. Saya harap kita semua akan terus menyokong Taman Warisan Melayu dan menjadikannya ruang yang menghidupkan warisan kita sekaligus memberi inspirasi kepada generasi akan datang," tambahnya lagi.

KEUNIKAN BUDAYA MELAYU SG
 
Related article image
Antara peserta perarakan budaya yang memaparkan kekayakaan khazanah budaya alam Melayu. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nursyazwani Sanep, Athirah Karim)
Sempena pembukaan semula TWM, acara Pesta Pecah Panggung selama sembilan hari turut diadakan.

Ia bagi meraikan warisan dan kekayaan budaya Melayu yang cukup luas.

Ini sejajar dengan tema yang dipilih bagi pesta sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu iaitu 'Dari Rantau Ke Rumah' yang meneroka evolusi identiti Melayu di Singapura dan bagaimana ia terkait dengan masyarakat berbilang budaya dan alam Melayu yang lebih luas.

PM Wong turut menarik perhatian kepada peranan dan sumbangan beberapa individu kepada pembentukan budaya Melayu Singapura.

"Apa yang kita ada hari ini bukan sahaja mana-mana budaya Melayu tetapi budaya Melayu Singapura. Ia diraih daripada kekayaan alam Melayu yang lebih luas - tradisinya, adat dan kepercayaannya, yang diturunkan daripada rantau ini kepada negara kita, dari generasi ke generasi. Namun ia juga dibentuk dan terukir dengan pengalaman bersama kita sebagai warga Singapura. Sepanjang 60 tahun lalu, kita telah mengharunginya sebagai satu negara tanpa mengira kaum, bahasa atau agama untuk membangunkan negara ini dan menjadikan Singapura sebagai rumah kita," kata PM Wong.
 
Related article image
PM Wong merasmikan pembukaan semula Taman Warisan Melayu. (Gambar: Taman Warisan Melayu)
Antara individu yang beliau maksudkan ialah, "Ramai orang Melayu Singapura telah menyumbang kepada perjalanan ini seperti Pak Zubir Said, yang menggubah banyak lagu Melayu termasuk lagu kebangsaan kita, dan Puan Noor Aishah, isteri Presiden pertama kita Yusof Ishak, yang memperjuangkan warisan Melayu dan mengabdikan dirinya kepada banyak usaha sosial. Yang lain bekerja secara senyap tetapi tidak kurang bermakna seperti Puan Saleha, juga dikenali sebagai Puan Haliza. Beliau adalah editor Melayu wanita pertama Singapura. Pada tahun 1950-an, beliau mengubah majalah Fesyen menjadi terbitan mingguan yang mencapai berpuluh ribu pembaca di seluruh Singapura dan Malaysia. Ramai yang begitu setia sehingga mereka sanggup membuat perjalanan ke Jalan Sultan hanya untuk bertemu beliau secara peribadi. Puan Saleha percaya bahawa membaca memperkasakan wanita, dan mengabdikan hidupnya untuk tujuan ini. Anda boleh melihat majalah beliau di galeri Taman Warisan Melayu yang telah diperbaharui. Dengan cara mereka sendiri, setiap daripada mereka membentuk Singapura moden. Ini adalah kisah-kisah yang mesti kita terus kongsikan."

PM Wong sendiri turut menyertai sekitar 300 orang dalam perarakan budaya dari Bussorah Street ke TWM, antara acara Pesta Pecah Panggung sempena pembukaan semula TWM.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita