Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan perkenalkan skim sokongan kewangan sementara untuk galak pekerja yang diberhentikan timba kemahiran baru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah sedang melakarkan satu skim baharu untuk menawarkan sokongan kewangan sementara bagi pekerja yang diberhentikan kerja dan semasa mereka meningkatkan kemahiran.

Dalam ucapannya dalam bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (20 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata skim baharu itu akan dapat mengurangkan tekanan kewangan pencari kerja dan tanggungjawab mereka menyara keluarga.

"Skim ini akan meringankan tekanan yang dihadapi pencari kerja. Dengan ini, anda boleh tumpukan perhatian untuk menjalani latihan semula demi mendapatkan pekerjaan jangka panjang yang lebih baik. Inilah cara kami boleh membantu anda bangkit semula dengan lebih yakin. Kami sedang perhalusi butiran skim ini, dan para pemimpin 4G akan berkongsi lebih lanjut apabila mereka menggulung inisiatif Forward SG," kata PM Lee.

Beliau berkata rentak perubahan dijangka semakin pantas dan maka itu jalan keluarnya ialah latihan semula demi mencari pekerjaan yang lebih baik dalam jangka panjang.

PM LEE GEMBIRA BADAN-BADAN MELAYU/ISLAM SOKONG PENCARI KERJA

PM Lee juga melahirkan rasa gembiranya melihat badan-badan Melayu/Islam (MMO) yang sama-sama memainkan peranan untuk menyokong golongan pencari kerja.

Beliau memberi contoh Yayasan MENDAKI yang bekerja rapat dengan agensi M3 dan MMO untuk mendekati para pekerja Melayu.
Related article image
(Gambar: MCI)
"Malah para pemimpin Melayu di NTUC juga aktif terlibat dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pekerjaan. Bersama-sama, mereka memperkukuh proses rujukan bagi program-program latihan, peningkatan kemahiran dan pemadanan pekerjaan," kata PM Lee.

Usaha-usaha ini akan memberi manfaat kepada golongan pencari kerja seperti Cik Asyura Senin yang berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya.

Lulusan diploma kejuruteraan sivil itu kata PM Lee pernah bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat binaan.
Related article image
Cik Asyura Senin bersama keluarganya. (Gambar: MCI)
Apabila anak-anak mula bersekolah, Cik Asyura memutuskan untuk kembali bekerja dan mahu tukar kerjaya ke bidang jagaan kesihatan khususnya dalam bidang pergigian.

"Tahun lalu, Asyura menyertai program Women At Work, MENDAKI. Penasihat Kerjaya beliau melakarkan pelan tindakan kerjayanya dan menyarankan kursus-kursus yang sesuai untuk beliau. Asyura menggunakan Kredit SkillsFuture untuk meraih Sijil Asas bagi Sokongan Pergigian. Semasa menjalani latihan, beliau berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa sebagai pembantu pembedahan pergigian di sebuah klinik. Inilah caranya Asyura berjaya bangkit semula dan meningkatkan kemahirannya. Tahniah Asyura!" kongsi PM Lee.
Related article image
Cik Asyura menggunakan Kredit SkillsFuture untuk meraih Sijil Asas bagi Sokongan Pergigian. (Gambar: MCI)
"Saya harap lebih ramai kaum ibu mengikuti contoh Asyura. Pemerintah akan menyokong anda dan saya harap keluarga anda juga akan memberi sokongan penuh!" tambah beliau.

BERANI REBUT CARI PEKERJAAN DALAM BIDANG-BIDANG BERKEMBANG

Meskipun keadaan dunia pada masa hadapan dijangka tidak menentu, PM Lee menarik perhatian bahawa masih ada banyak peluang yang tersedia dengan sektor-sektor ekonomi baru yang bercambah.

Menurut PM Lee, sektor-sektor itu "mewujudkan pekerjaan baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan".

Encik Lee berkata, "Satu contoh adalah bidang digital, yang amat memerlukan kemahiran baru dan ilmu yang mendalam. Malah bidang digital menawarkan peluang pekerjaan yang sangat luas. Anda boleh menjadi penggiat YouTube, saintis data atau seorang pereka UX (pengalaman pengguna) atau UI (antaramuka pengguna)."
Related article image
(Gambar: Unsplash)
"Siapa kata dengan permainan online, kita tak boleh cari makan? Sebenarnya, boleh! Bagaimana caranya? Dengan menjadi seorang pemain profesional, jurulatih, ataupun pengulas," tambah beliau.

PM Lee turut berkongsi rasa gembira melihat semakin ramai yang beralih ke sektor digital termasuk karyawan Melayu/Islam.

"Saya difahamkan sekumpulan mereka yang menempa nama sebagai pakar dalam bidang IT bergabung di LinkedIn. Ditubuhkan tahun lalu, rangkaian yang dikenali sebagai Malay Muslims iN Tech kini mempunyai hampir 400 anggota. Mereka menganjurkan bengkel, seminar dan sesi-sesi rangkai kerja untuk menggalakkan perkongsian idea, kemahiran serta peluang-peluang baru."
Related article image
Cik Atiqah Abdul Khalim meneruskan pengajian dalam bidang rekaan digital UX bagi aplikasi, laman web atau peranti. (Gambar: MCI)
"Seorang daripada mereka ialah, Atiqah Abdul Khalim. Beliau lulus dengan ijazah Sains Politik dari NUS tetapi kemudian memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang berlainan sekali – rekaan digital UX bagi aplikasi, laman web atau peranti. Sejak itu, beliau bekerja sebagai pereka UX di beberapa syarikat teknologi besar seperti Razer, Shopee dan kini di Rakuten Viki," ujar PM Lee.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Atiqah yang kini banyak berkongsi minat dan kepakaran dalam rekaan digital kepada para pelajarnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita