Pemerintah akan percepat laksana inisiatif Belanjawan; bantu keluarga tampung kenaikan harga global
SINGAPURA: Pemerintah akan mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah Belanjawan 2022 untuk membantu keluarga-keluarga di Singapura di tengah-tengah kenaikan harga global, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Isnin (4 April).
Semasa menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen mengenai inflasi dan kos perniagaan, Encik Wong berkata beliau akan, jika boleh, mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 disebabkan oleh tekanan-tekanan tersebut.
Baucar CDC S$100 untuk setiap keluarga rakyat Singapura akan diagihkan menjelang pertengahan bulan depan, kata Encik Wong. Ini selain daripada S$100 yang diagihkan pada Disember tahun lalu dan akan membantu orang ramai menampung perbelanjaan harian mereka.
Bahagian pertama Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) dan rebat U-Save juga akan diagihkan pada bulan ini kepada keluarga-keluarga yang layak, umum Encik Wong.
Baki rebat U-Save dan S&CC akan diagihkan pada suku tahun akan datang – pada bulan Julai dan Oktober tahun ini dan pada Januari tahun depan.
Encik Wong turut menarik perhatian bahawa buat masa ini terdapat juga bentuk bantuan yang lain untuk menolong keluarga-keluarga di sini, termasuk tokokan kepada Akaun Pembangunan Anak(CDA), Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA), serta baucar GST dari segi wang tunai dan tokokan Medisave.
Pemerintah akan terus memastikan kesemua bantuan itu diagihkan kepada rakyat Singapura "tepat pada masanya", katanya.
Bantuan juga akan dihulurkan kepada syarikat-syarikat perniagaan, kata Encik Wong.
Beliau juga mengumumkan bahawa pengagihan Geran Pemulihan Perniagaan Kecil akan dipercepatkan dan sebahagian besar syarikat perniagaan yang layak akan dapat menerima geran tersebut menjelang Jun.
Geran itu menyediakan sokongan sehingga S$10,000 kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang paling terkesan akibat sekatan-sekatan COVID-19 sepanjang tahun lalu.
BANTUAN UNTUK KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH
Lebih banyak bantuan juga akan dihulurkan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang akan lebih terkesan sepanjang tempoh harga yang lebih tinggi ini, kata Encik Wong.
Pejabat Khidmat Sosial (SSO) akan memberikan tempoh minimum selama enam bulan untuk menyokong para penerima Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA) ComCare yang mendaftar antara bulan ini dengan September tahun ini, katanya.
“Bagi keluarga yang sudahpun diletakkan di bawah bantuan ComCare SMTA, bantuan yang dihulurkan kepada mereka juga boleh dilanjutkan sekurang-kurangnya selama tiga bulan lagi jika mereka memerlukan lebih banyak bantuan,” tambah Encik Wong.
“SSO akan terus bersikap fleksibel semasa membantu mereka yang memerlukan bantuan kewangan. Ini termasuk menyediakan lebih banyak bantuan wang tunai kepada para penerima bantuan ComCare dalam tempoh ini untuk menghadapi tekanan inflasi.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.