Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan pastikan pertumbuhan kekal inklusif, meski Singapura alu-alukan bakat dan pelaburan asing: DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan pastikan  pertumbuhan kekal inklusif, meski Singapura alu-alukan bakat dan pelaburan asing: DPM Wong

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata Pemerintah akan memastikan pertumbuhan ekonomi Singapura terus bersifat inklusif walaupun negara ini membuka pintunya kepada lebih banyak bakat dan pelaburan asing.

Dalam wawancara dengan program berita News Tonight di Saluran 5 Mediacorp pada Rabu malam (31 Ogos), DPM Wong menerangkan, adalah amat penting bagi Singapura untuk terus terbuka tetapi faedah yang diraihnya sebagai bandar global mesti dikongsi dengan semua segmen masyarakat.

Sehubungan dengan itu langkah-langkah dilakukan bagi mengawal kemasukan jumlah profesional migran bagi memastikan mereka melengkapi pekerja Singapura.

Di samping itu, usaha lebih giat akan dilakukan bagi memastikan karyawan asing, terutama sekali di tempat kerja, memahami nilai-nilai dan gaya hidup Singapura.

Di pihaknya pula, rakyat Singapura perlu menerima kehadiran tenaga kerja migran yang telah menyumbang kepada Singapura.

Dalam wawancara yang menyentuh pelbagai isu itu, DPM Wong juga bercakap tentang pentingnya dikukuhkan perpaduan rakyat Singapura.

Beliau berkata Pemerintah memandang amat serius terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat tempatan.

Lantaran itu, Encik Wong menambah, rakyat perlu terus memberi tumpuan kepada ciri-ciri yang kita kongsi bersama.

Beralih kepada perubahan geo-politik sekarang, Encik Wong menyeru rakyat Singapura supaya lebih berwaspada dan bersatu menentang pengaruh asing.

Ini kerana kedaulatan negara dan keupayaan Pemerintah untuk membuat keputusan tepat bagi rakyat, menjadi taruhannya.

Menurut DPM Wong dalam keadaan persaingan geo-politik yang semakin sengit sekarang, kita perlu menjangkakan ada pihak luar cuba meluaskan pengaruhnya di merata dunia dan di Singapura.

DPM Wong juga ditanya mengenai perkembangan Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore yang dimulakan dua bulan lalu.

Beliau berkata usaha mendapatkan pandangan rakyat telah dilakukan dalam skala kecil tetapi pihaknya telah mendapat banyak pandangan dari orang ramai.

Gerakan itu akan berlangsung selama setahun.

Ia bertujuan menyemak dan menyegarkan semula kompak sosial Singapura dan melakar hala tuju negara untuk dekad akan datang dan seterusnya.

Encik Wong berkata sesi mendapatkan pandangan orang ramai akan diluaskan mulai bulan ini.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita