Pemerintah akan naikkan had pendapatan HDB "bila tiba masa sesuai", kata Desmond Lee
Pemerintah Singapura akan terus memantau pertumbuhan pendapatan dan keadaan dalam pasaran hartanah tempatan, serta menaikkan had pendapatan "apabila tiba masa yang sesuai".
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berucap di Parlimen pada 5 Mac 2025. (Gambar: CNA)
Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Rabu (5 Mac).
Encik Lee berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) mengenai kemungkinan menaikkan had pendapatan kelayakan bagi flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan kondominium eksekutif (EC).
Had pendapatan bagi BTO sedia ada untuk keluarga-keluarga dan pasangan sudah berkahwin adalah S$14,000 sebulan.
Ini "masih meliputi sekitar lapan daripada 10 isi rumah rakyat Singapura", kata Encik lee, sambil menambah flat-flat baharu dan subsidi perumahan "diutamakan bagi mereka yang lebih memerlukannya".
Bagi kondominium eksekutif, yang merupakan hibrid perumahan awam dan privet kerana ia dibina dan dijual oleh pemaju privet, had pendapatannya adalah S$16,000 sebulan.
Menurut Encik Lee pemerintah akan menambah bekalan kondominium eksekutif kepada sekitar 1,500 unit tahun ini, naik daripada kira-kira 1,200 unit dalam tahun sebelumnya.
"Mereka yang dalam lingkungan dan melebihi had pendapatan itu juga boleh memilih flat HDB jualan semula atau hartanah kediaman privet yang lebih meluas, yang mana tiada had pendapatan."
CABARAN "BESAR"
Bercakap semasa perbahasan mengenai belanjawan Kementerian Pembangunan Negara, Encik Lee menekankan komitmen pemerintah untuk memastikan perumahan awam "boleh dimampui dan diakses".
Terdapat cabaran-cabaran "besar" dari segi perumahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pandemik COVID-19 menganggu kerja-kerja binaan, bahan dan buruh; menyebabkan kelengahan menyiapkan projek-projek BTO.
Dalam masa yang sama, permintaan melonjak disebabkan perubahan demografi dan faktor-faktor berkait pandemik, yang melonjakkan harga flat jualan semula selepas bertahun-tahun tidak berubah.
Bekalan rumah baharu juga sudah ditambah, dengan pihak berkuasa berada di landasan yang betul untuk melancarkan 100,000 flat BTO dari 2021 hingga 2025, melebihi komitmen yang ditetapkan.
Daripada jumlah itu, lebih banyak flat dengan tempoh menunggu lebih singkat kurang tiga tahun sudah dilaksanakan.
Sasaran sebelum ini untuk membina 2,000 hingga 3,000 flat sedemikian menjelang 2025 dicapai tahun lalu, apabila lebih 2,800 flat dilancarkan.
Tempoh menunggu median bagi flat BTO juga disingkatkan kepada kurang empat tahun pada 2024, berbanding norma sebelum pandemik iaitu tiga hingga empat tahun.
Semua usaha ini sudah menurunkan kadar permohonan BTO bagi pembeli kali pertama, kata Encik Lee.
Kadar bagi keluarga pembeli kali pertama sudah stabil ke paras lebih rendah berbanding sebelum pandemik - iaitu dari 3.7 kali pada 2019 kepada 2.1 kali pada 2024. Dalam proses penjualan BTO baru-baru ini pada Februari, ia turun lagi kepada 1.5 kali.
Bagi perumahan privet juga, bekalan sudah ditambah, dengan tanah bagi sekitar 11,000 unit dilancarkan tahun lalu menerusi program penjualan tanah pemerintah (GLS). Ini jumlah yang paling tinggi dilancarkan dalam satu-satu tahun sejak 2013.
Encik Lee berkata pemerintah akan "terus memastikan bekalan rumah meningkat", dengan pelancaran sudah dirancang bagi lebih 25,000 flat tahun ini.
Ini termasuk 19,600 flat BTO, seperti projek pertama di estet perumahan Mount Pleasant, dan lebih 5,500 Jualan Baki Flat (SBF) di sekitar 60 peratus bandar dan estet.
Bekalan rumah privet menerusi program GLS juga akan ditambah kepada sekitar 8,500 unit dalam separuh pertama 2025, dengan lebih banyak lagi menjelang hujung tahun ini.
Dari 2025 hingga 2027, pemerintah akan melancarkan lebih 50,000 flat BTO, tambah Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.