Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan 'maju dengan waspada' dalam mengumpul maklumat sambil hormati privasi

Sedang Singapura bergerak ke arah menjadi sebuah Negara Bijak, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan pentingnya menghormati privasi seseorang, sambil memanfaatkan sepenuhnya maklumat bagi meningkatkan kehidupan masyarakat dan orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan 'maju dengan waspada' dalam mengumpul maklumat sambil hormati privasi

PM Lee Hsien Loong bercakap dengan beberapa pelajar di luar sesi dialog SUTD pada 5 April 2018.

Diterbitkan : 06 Apr 2018 12:21AM Dikemas Kini : 06 Apr 2018 12:24AM

SINGAPURA: Sedang Singapura bergerak ke arah menjadi sebuah Negara Bijak, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan pentingnya menghormati privasi seseorang, sambil memanfaatkan sepenuhnya maklumat bagi meningkatkan kehidupan masyarakat dan orang ramai.

Menjawab soalan yang diajukan seorang penuntut di Forum Menteri pertama di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada Khamis (5 Apr), PM Lee merujuk kepada contoh skandal Cambridge Analytica baru-baru ini, sambil mengatakan ada "timbal balik" antara mengumpul maklumat dan menghormati privasi orang ramai.

Pada bulan lalu, Facebook akur bahawa maklumat peribadi bagi sekitar sejuta pengguna jatuh ke tangan syarikat rundingan politik Cambridge Analytica.

Penuntut tersebut bertanya kepada Encik Lee apa wawasan Singapura bagi keseimbangan antara mengumpul data dan menghormati privasi seseorang.

"Saya rasa kita harus mencari jalannya untuk bergerak ke depan," kata PM Lee. "Kami mahu manfaatkan sepenuhnya maklumat yang kita ada untuk meningkatkan kehidupan orang ramai, meningkatkan cara masyarakat kita berfungsi, bagi menjadikannya persekitaran yang lebih selamat untuk semua orang.

"Pada masa yang sama, anda tidak mahu melakukannya dengan cara yang melampau, intrusif, yang tidak beretika."

Sebagai contoh, pemerintah sudah memasang CCTV di banyak tempat awam seperti kolong blok, lobi lif dan blok HDB. "Kami perlu tahu apa yang terjadi di tempat awam, sekiranya berlaku rusuhan atau kecemasan, kami boleh segera memberi respons," jelasnya, Tetapi jika kita letakkan CCTV di hadapan pintu rumah anda, atau di koridor anda untuk memerhatikan siapa yang masuk dan keluar, saya rasa anda benar-benar akan menjadi marah."

Rangkaian CCTV, katanya, menyebabkan berkurangnya jumlah tailong yang beroperasi di Singapura.

Beliau turut berkata bahawa syarikat telko di Singapura tahu di mana wujudnya kelompok orang yang ramai dan ke mana arah tuju mereka.

TENTANG MENGKAJI SEMULA SISTEM POLITIK S'PURA

PM Lee menjawab pelbagai jenis soalan semasa dialog berkenaan, di mana salah satu daripadanya adalah tentang sama ada sudah tiba masanya pemerintah mengkaji semula sistem politik di Singapura, memandangkan "keinginan yang meningkat daripada generasi lebih muda untuk memiliki lebih banyak pendapat yang rencam."

PM Lee kemudian menjelaskan demokrasi berbilang parti Singapura, di mana sebuah parti lebih berkuasa, berfungsi dengan baik bagi negara ini. Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada kepastian bagi perkara sebegini.

"Saya rasa ia bergantung kepada berapa baik prestasi PAP dan berapa baik dapat pihak pembangkang lakukan berbanding pemerintah, atau bahawa pemerintah melakukan perkara yang salah dan anda harus menghentikan pemerintah daripada berbuat perkara yang tiada manfaatnya," kata beliau.

PM Lee turut berkata bagi negara kecil seperti Singapura, sudah cukup sukar untuk membina pasukan yang berfungsi dengan baik.

"Saya akan katakan kami menjadikan sistem kami berfungsi dengan baik dan kami menyesuaikan secara bertahap-tahap daripada apa yang berjalan baik kini," menurutnya, sambil merujuk kepada contoh mempunyai Anggota Parlimen (AP) Tanpa Kawasan Undi di parlimen.

"Kami mahu ada kelebihan sebuah sistem di mana sebuah parti boleh menjadi sangat kukuh, tetapi tetap tidak meminggirkan yang lain."

Pada tahun 2016, PM Lee mengumumkan beliau berniat menaikkan jumlah tempat duduk AP Tanpa Kawasan Undi, supaya ada sekurang-kurangnya 12 wajah pihak pembangkang di parlimen, naik berbanding sembilan sekarang, bermula Pilihan Raya depan.

"Saya akan katakan bahawa jika ada 12 orang, anda akan dapat banyak bersuara, jika anda ada orang-orang yang tepat.

"Kerana mereka boleh bersemuka dan mempertanggungjawabkan pemerintah, berhujah dan mendatangkan kesan. Pada pilihan raya seterusnya, mereka akan menang lebih banyak kerusi.

"Jika mereka tidak punya pasukan yang baik, anda boleh ada 20-30 disebabkan imbangan perwakilan. Tetapi itu tidak akan membantu. Namun 12 wakil yang baik ... saya rasa akan menghasilkan perbezaan besar," kata PM Lee.

Menurut beliau lagi, buktinya adalah PAP sendiri sebelum ia memegang tampuk kekuasaan. PAP hanya ada tiga kerusi dalam Dewan Perundangan menyusuli pilihan raya 1955.

"Encik Lee Kuan Yew adalah salah seorang daripada mereka (yang menang kerusi). Pemerintah penjajah dipertabggungjawab sepenuhnya," tambah PM Lee.

"Hari ini, mereka tiada orang seperti itu dalam pembangkang."

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan