Pemerintah akan kaji petunjuk mutu kehidupan SG, berwaspada tetapkan matlamat 'dorong tingkah laku salah': Chan Chun Sing
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berucap di Parlimen pada 10 September 2026 semasa perbahasan mengenai gaji politik.
- Pemerintah Singapura sedang meneliti cadangan memperluaskan penunjuk mutu kehidupan dalam bonus nasional untuk pemegang jawatan politik, seperti dibangkitkan di Parlimen oleh beberapa NMP.
- Menteri Chan Chun Sing menegaskan perlunya berhati-hati agar penetapan sasaran tidak mendorong tingkah laku yang salah dan data yang digunakan mestilah stabil serta boleh diukur.
- Cadangan lain termasuk semakan formula gaji politik supaya lebih mencerminkan tanggungjawab dan kemahiran, serta mengambil kira purata pendapatan sektor swasta dalam tempoh lebih panjang.
- Chan menekankan kepentingan membentuk pasukan kepimpinan yang rencam dan kukuh demi masa depan Singapura, dengan gaji bukan satu-satunya pertimbangan utama.
Beliau berkata demikian di Parlimen semasa perbahasan mengenai respons pemerintah terhadap saranan jawatankuasa yang menyemak gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP).
Jawatankuasa itu menyarankan supaya ukuran mutu kehidupan dimasukkan dalam rangka kerja bonus nasional, yang menentukan sebahagian daripada komponen gaji berubah-ubah bagi pemegang jawatan politik.
Bonus nasional ketika ini berdasarkan empat penunjuk: kadar pengangguran, kadar pertumbuhan pendapatan sebenar pada paras median, kadar pertumbuhan pendapatan sebenar bagi 20 peratus golongan berpendapatan terendah dan kadar pertumbuhan sebenar Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
Semasa perbahasan, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Kenneth Poon berkata penunjuk mutu kehidupan akan menilai persoalan lebih luas mengenai sama ada rakyat Singapura menjalani kehidupan yang baik.
Beliau menyarankan empat dimensi kemajuan sosial untuk dipertimbangkan, iaitu kecukupan material, akses kepada khidmat asas, hubungan sosial dengan Singapura dan kesejahteraan subjektif.
Seorang lagi NMP, Dr Haresh Singaraju, bertanya siapa yang akan membangunkan ukuran mutu kehidupan itu, bila ia akan dibentangkan di Parlimen dan sama ada ia akan diterbitkan walaupun tidak diambil kira dalam bonus nasional.
Encik Chan berkata pemerintah mahu memperluaskan petunjuk tersebut, namun data perlu dapat dikumpulkan dan disusun menjadi siri yang stabil sebelum sasaran boleh ditetapkan.
Menurut beliau, bukan mudah untuk menetapkan petunjuk sedemikian kerana sesetengahnya mungkin bersifat kualitatif dan bukannya kuantitatif.
Beberapa faktor juga perlu diukur dalam tempoh beberapa tahun dan bukan berdasarkan satu tahun sahaja.
Encik Chan berkata terdapat perkara penting dalam kehidupan yang tidak dapat diukur dan Singapura perlu berhati-hati agar tidak hanya menghargai perkara yang boleh diukur.
Beliau berkata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) akan meneliti perkara tersebut dan mengemukakan usulan mengenai apa yang boleh dan praktikal untuk dilaksanakan.
Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, turut menjawab pertanyaan sama ada pemerintah akan menimbangkan petunjuk yang mencerminkan keupayaan Singapura untuk terus maju dalam jangka sederhana dan panjang, melangkaui prestasi sosial dan ekonomi semasa.
Sepanjang berkhidmat dalam sektor awam, Encik Chan berkata beliau belajar bahawa keupayaan mencegah sesuatu masalah sebelum orang ramai perlu menghadapinya atau menyedarinya merupakan “tanda kejayaan”.
SARANAN LAIN
NMP Kenneth Goh menyarankan supaya formula penanda aras gaji mengambil kira pendapatan bagi jawatan sektor swasta yang “mencerminkan kemahiran, pertimbangan, kerumitan dan beratnya tanggungjawab yang kita harapkan daripada pemegang jawatan politik”, berbanding menggunakan pendapatan tahunan median 1,000 rakyat Singapura berpendapatan tertinggi.
Encik Chan berkata 1,000 individu berpendapatan tertinggi itu digunakan sebagai ukuran perbandingan secara umum dan bukan bertujuan mengenal pasti pekerjaan yang setanding dengan tugas menteri.
Beliau berkata ketika rangka kerja itu mula diperkenalkan, hanya pekerjaan tertentu digunakan sebagai rujukan, namun pendekatan tersebut kemudian dianggap terlalu sempit.
Profesor Madya Goh turut menyarankan supaya purata pendapatan kumpulan perbandingan dalam sektor swasta sepanjang tiga hingga lima tahun dipertimbangkan kerana pendapatan mungkin berubah-ubah dari tahun ke tahun.
Encik Chan berkata saranan itu munasabah, namun prestasi pemerintah tidak boleh diukur berdasarkan satu tahun sahaja dan pemerintah juga boleh berubah.
Menurutnya, terdapat kesukaran praktikal dalam menimbangkan saranan tersebut, terutama kerana tempoh yang diperlukan untuk melihat hasil dasar berbeza-beza antara kementerian.
Menjawab saranan Dr Singaraju supaya pemerintah menjelaskan sasaran bagi hasil yang dilaporkannya, Encik Chan berkata tadbir urus bukan sekadar satu siri KPI dan Singapura perlu berhati-hati mengenai perkara yang diterbitkan kepada umum.
BERI SINGAPURA PELUANG LEBIH BAIK
Encik Chan turut mengulangi bahawa kenaikan gaji pemegang jawatan politik bertujuan memberikan Singapura peluang lebih baik untuk membentuk pasukan pemimpin yang kukuh dan mampu membawa negara ke hadapan.
Menurutnya, faktor paling penting ialah tanggungjawab besar untuk memastikan keputusan yang tepat dibuat demi rakyat Singapura.
“Ini bukan usaha niaga. Ini mengenai kehidupan dan mata pencarian rakyat Singapura. Jika sesebuah perniagaan gagal, kita boleh memulakan yang baharu. Namun jika Singapura gagal, habislah kita,” katanya.
Wang tidak seharusnya menjadi pertimbangan utama, namun ia perlu dibincangkan sebagai salah satu daripada pelbagai pertimbangan praktikal.
Singapura memerlukan pasukan yang rencam, merangkumi para anggota lebih muda yang membawa tenaga, idea dan perspektif baharu serta individu berpengalaman yang mampu memikul tanggungjawab lebih besar.
Pada masa yang sama, Singapura tidak seharusnya mengenepikan individu mapan dengan pengalaman luas yang mampu memberikan sumbangan besar.
“Mencari gabungan itu sudah cukup sukar. Kita tidak seharusnya menjadikannya lebih sukar, bukan sahaja bagi pemerintah ini tetapi mana-mana pemerintah, dengan mengecilkan kelompok calon sebelum proses pemilihan bermula,” katanya.
“Semakin luas kelompok calon, semakin banyak pilihan yang kita ada dan semakin besar peluang kita untuk mencari serta membentuk pasukan yang selayaknya dimiliki Singapura.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.