Skip to main content

Singapura

Pemerintah akan campur tangan jika keharmonian agama terancam: Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata Singapura telah bekerja keras untuk mengekalkan keharmonian agamanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan campur tangan jika keharmonian agama terancam: Shanmugam
Diterbitkan : 25 Mar 2024 10:37PM Dikemas Kini : 26 Mar 2024 05:51AM
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata Singapura telah bekerja keras untuk mengekalkan keharmonian agamanya.

Dan ia akan campur tangan jika keselamatan dan keamanan negara terancam.

Beliau berkata demikian di majlis berbuka puasa bersama kira-kira 110 kumpulan Qaryah dan tetamu di auditorium Masjid Khalid yang terletak di Joo Chiat Road pada Isnin (25 Mac).

Menurut Encik Shanmugam, beliau amat kecewa apabila mendapat tahu tentang catatan di Facebook Kedutaan Israel dan "ia tidak boleh diterima sama sekali".

"Mengapakah catatan itu salah? Kerana apabila mereka memuat naik catatan seperti itu, ia boleh membangkitkan kemarahan orang di Singapura. Ada beberapa orang yang akan menjadi marah, dan mereka mungkin melakukan sesuatu.

"Dan masyarakat Yahudi adalah minoriti, masyarakat Islam adalah minoriti, dan ini boleh menimbulkan masalah antara masyarakat Yahudi dan masyarakat Islam. Saya tidak mahu ia berlaku di Singapura. Jadi, ia tidak sensitif, tidak sesuai, menjejaskan keselamatan dan keharmonian kita. Jadi kami kata turunkan," tegas Encik Shanmugam.

Terdapat juga sebab-sebab lain kata beliau.

"Anda tidak boleh hanya memilih teks agama tertentu dan kemudian menekankan pendirian politik. Atau secara selektif menggunakan Al-Quran untuk tujuan itu pada masa ini. Saya berkata ia adalah percubaan menghairankan untuk menulis semula sejarah," kata beliau.

Encik Shanmugam seterusnya berkata beliau difahamkan oleh pihak kedutaan Israel bahawa catatan itu diterbitkan tanpa kebenaran.

"Mereka tidak tahu mengenainya, seseorang telah memuat naik catatan itu, dan mereka akan mengambil tindakan berat terhadap orang yang melakukannya. Jadi, dari segi itu baik kerana mereka menerima bahawa catatan itu salah dan tidak sepatutnya dimuat naik.

"Keharmonian agama yang ada antara pelbagai masyarakat kita, antara kumpulan kaum yang berbeza di Singapura, terlalu berharga. Kami telah bekerja keras untuk mencapainya. Anda tidak menemui perkara serupa di banyak tempat lain dan kami tidak boleh membiarkannya dilemahkan dengan tindakan sedemikian."

Secara lebih luas, krisis yang berterusan di Gaza adalah satu tragedi kata beliau.

PENGIKTIRAFAN KUMPULAN-KUMPULAN QARYAH

Selain itu, Encik Shanmugam turut melahirkan penghargaan beliau kepada sumbangan kumpulan-kumpulan qaryah kepada penduduk Islam dalam kejiranan mereka.

"Kumpulan qaryah mempunyai ikatan dengan masyarakat dalam kawasan kejiranan mereka. Para sukarelawan memastikan ruang solat kondusif, mudah diakses, termasuk untuk warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan.

Beliau memuji usaha kumpulan-kumpulan qaryah yang bekerjasama dengan MUIS, mengumpul pandangan serta kebimbangan masyarakat Islam dan memberikan maklum balas.

Semangat gotong royong, menurut beliau, adalah satu aspek yang amat penting untuk memastikan semangat itu terus hidup.

"Kami bertemu setahun yang lalu - terdapat beberapa isu pada masa itu. Adalah baik (kerana) kami menemui penyelesaian. Pada masa itu, saya memberitahu anda, Pemerintah boleh menawarkan tempat lain untuk memastikan solat (anjuran kumpulan) qaryah dapat dijalankan dengan baik. Saya rasa tahun ini keadaannya lebih lancar. Jadi saya berterima kasih kepada semua yang terlibat kerana memastikan ia lebih lancar tahun ini.

"Saya ingin memberi jaminan kepada anda bahawa Pemerintah (akan) terus mengiktiraf peranan sangat penting yang dimainkan oleh kumpulan qaryah, dan kami akan terus menyokong anda, menyokong usaha anda, untuk berkhidmat kepada masyarakat – termasuk sokongan kepada kepimpinan, dan juga mereka yang melihat kepada pembaharuan kepimpinan, agar golongan qaryah terus mempunyai masa depan yang cemerlang," ujar Encik Shanmugam.

Majlis berbuka puasa anjuran Masjid Khalid itu turut dihadiri Menteri Negara  Pembangunan Negara, Muhammad Faishal Ibrahim, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Presiden Muis, Encik Saat A Rahman.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita