Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan bertindak jika tekanan kos memburuk, kata Lawrence Wong

Pemerintah tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi membantu keluarga dan perniagaan di Singapura sekiranya keadaan luaran bertambah buruk, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Rabu (2 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Mar 2022 07:49PM Dikemas Kini : 02 Mar 2022 10:08PM

SINGAPURA: Pemerintah tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi membantu keluarga dan perniagaan di Singapura sekiranya keadaan luaran bertambah buruk, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Rabu (2 Mac).

Semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2022 selama tiga hari, Encik Wong berkata Pemerintah menyedari sepenuhnya keprihatinan masyarakat berhubung inflasi dan kos yang semakin meningkat.

Hal itu diburukkan lagi oleh perkembangan dunia yang berlaku baru-baru ini sejak Encik Wong menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022 pada 18 Februari lalu.

Semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan pertamanya ketika itu, Encik Wong menggariskan ketegangan yang memuncak di Timur Eropah serta risikonya terhadap prospek ekonomi.

Sejak itu, keadaan bertambah buruk dalam sekelip mata dengan pencerobohan Rusia di Ukraine.

Pada Isnin, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata konflik itu mengaburi prospek ekonomi Singapura dan akan menyebabkan kenaikan kos tenaga. Ini memandangkan Singapura mengimport sebahagian besar keperluan tenaganya dan sekatan-sekatan ke atas Rusia sudah menjejas bekalan sejagat.
 

Merujuk kepada perkembangan ini sewaktu beliau mula menggulung ucapannya pada Rabu, Encik Wong berkata Pemerintah sedang mengambil tindakan untuk meningkatkan keandalan bekalan tenaga Singapura.

Beliau menarik perhatian kepada beberapa langkah yang diumumkan semasa Belanjawan untuk membantu keluarga menangani kenaikan kos serta sokongan yang dihulurkan untuk membantu perniagaan dan pekerja.

Encik Wong menambah Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sudah mengambil langkah awal untuk memperketatkan dasar kewangan pada Januari lalu, yang akan menyederhanakan kesan lebih tinggi inflasi global.

“MAS akan terus menilai langkah-langkah yang wajar untuk memastikan kestabilan jangka pertengahan," ujar beliau.

Pemerintah juga, tambah Encik Wong, sedang memantau rapi keadaan luaran dan risiko terhadap ekonomi Singapura, baik dari segi pertumbuhan mahupun inflasi.

"Jika keadaan bertambah teruk, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut demi melindungi pekerjaan dan membantu keluarga serta perniagaan menangani kos yang meningkat."

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata konflik di Ukraine menjadi peringatan bahawa "kita hidup dalam dunia yang kian berpecah-belah dan bermasalah" yang "kurang baik bagi negara-negara kecil". Beliau menambah Singapura akan sentiasa terjejas oleh kuasa luaran seumpama itu.

Lantaran itu, kata beliau, adalah penting untuk Singapura mempunyai sumber yang mencukupi bagi mempertahankan dan melindungi kepentingan dan penakatan negara ini.

Encik Wong juga menyentuh tentang keprihatinan berhubung kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal berlaku - isu yang menerima kritikan dalam kalangan perubahan cukai yang diumumkan dalam Belanjawan tahun ini.

Encik Wong berkata beliau memahami sepenuhnya keprihatinan masyarakat dan memperakui pandangan yang menggesa agar pelaksanaan kenaikan GST dilengahkan sehingga keadaan inflasi menjadi reda.

Bagaimanapun, beliau menambah Pemerintah tidak boleh terus melengahkan kenaikan GST memandangkan "keperluan pendapatan mendesak" yang dihadapi Singapura.

Maka itu, beliau mengulangi jaminannya bahawa Pemerintah akan mengambil tindakan lanjut sekiranya inflasi meningkat menjangkaui unjurannya.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan