Pemerintah akan 'berhati-hati' pembangunan kawasan kaya kepelbagaian bio: Desmond Lee
Pemerintah ingin mengimbangi antara pemuliharaan ruang hijau dengan pembangunan perumahan dan kemudahan bagi keperluan masa depan Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (28 Jan).
(Gambar: Facebook/Desmond Lee)
SINGAPURA: Pemerintah ingin mengimbangi antara pemuliharaan ruang hijau dengan pembangunan perumahan dan kemudahan bagi keperluan masa depan Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (28 Jan).
Dalam satu catatan Facebook, Encik Lee berkata beliau mengunjungi Ulu Pandan pada Rabu, ditemani oleh para wakil dari Lembaga Taman Negara (NParks), Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) dan Suara Belia Singapura bagi Kepelbagaian Bio.
Ulu Pandan adalah tapak Hutan Dover, iaitu tanah seluas 33 hektar yang diperuntukkan sebagai zon pembangunan perumahan.
Dua kumpulan pencinta alam itu telah menggesa Pemerintah agar mempertimbangkan projek pembangunan Ulu Pandan, salah satu daripada kawasan dalam perancangan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) untuk membangunkan 17,000 flat BTO tahun ini.
Memulihara kehijauan dan menyediakan perumahan untuk penduduk "kedua-duanya adalah keperluan penting", kata Encik Lee yang menambah bahawa "kita tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru".
Atas keperluan perumahan warga Singapura, Pemerintah perlu mengambil tanah "diketepikan oleh generasi sebelum ini dan membangunkannya untuk tujuan ditetapkan" kata Encik Lee.
Sebahagian tanah, seperti Hutan Dover, kini "menghijau dan semakin menebal dengan peredaran masa", tambah beliau.
Hutan itu menjadi tempat tinggal bagi 158 spesies haiwan - termasuk yang terancam pupus - dan 120 spesies tumbuh-tumbuhan, menurut satu kajian sekitaran HDB.
Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) telah mengusulkan agar seluruh Hutan Dover dipulihara sebagai taman semula jadi dan awam, sambil menekankan kepentingannya sebagai "batu loncatan bagi ketersambungan hidupan liar", yang menghubungkan hutan-hutan di Southern Ridges ke kawasan seperti Taman Semula Jadi Bukit Batok dan Hutan Simpanan Bukit Timah.
Encik Lee berkata pihak berkuasa akan "mengkaji semua maklum balas dengan teliti sedang kami mempertimbangkan kemungkinan rancangan bagi tapak itu". Beliau menarik perhatian Pemerintah pernah sebelum ini melindungi beberapa tapak yang penting dari segi ekologi seperti Taman Semula Jadi Thomson, Taman Dairy Farm, Taman Semula Jadi Rifle Range dan Khatib Bongsu yang asalnya diketepikan bagi pembangunan.
Bagi projek pembangunan berdekatan kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi seperti Hutan Dover, "kami akan teruskannya dengan berhati-hati", tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.