Pemerintah akan bentang Rang Undang-Undang perkahwinan Islam dan sivil secara online
Pernikahan akan dibolehkan tanpa kehadiran fizikal seorang kadi atau saksi, dengan memanfaatkan teknologi, jika satu Rang Undang-Undang baru diluluskan di Parlimen 4 Mei ini.
SINGAPURA: Pernikahan akan dibolehkan tanpa kehadiran fizikal seorang kadi atau saksi, dengan memanfaatkan teknologi, jika satu Rang Undang-Undang baru diluluskan di Parlimen 4 Mei ini.
Mengumumkan demikian di Facebook pada Ahad (26 Apr), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee berkata pernikahan sedemikian akan dibenarkan bagi pasangan yang salah seorang atau kedua-duanya merupakan warga atau penduduk tetap Singapura.
Perkahwinan sivil juga boleh dilakukan secara online.
Namun demi memastikan "langkah berjaga-jaga dikekalkan", proses tersebut hanya tersedia untuk "pasangan yang mengemukakan dokumen dikeluarkan di Singapura bagi pengesahan dan bukan dokumen asing".
Satu lagi syarat adalah pasangan yang ingin bernikah, saksi dan wali (bagi pernikahan Islam) mereka mesti berada di Singapura secara fizikal untuk menandatangani akuan berkanun dan untuk pihak berkuasa mengesahkan dokumen yang diperlukan. Mereka semua juga perlu berada di Singapura secara fizikal semasa pernikahan.
"Kami boleh jangka memulakan proses ini dari pertengahan Mei, jika undang-undang ini diluluskan," kata Encik Lee dalam catatan Facebooknya.
Beliau menambah, nikah secara online mungkin akan dilanjutkan sebagai pilihan kepada lebih ramai pasangan selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan.
"Kami juga akan menyambung pernikahan yang dilangsungkan dengan kehadiran fizikal apabila keadaan sudah selamat," kata Encik Lee
DISOKONG PEJABAT MUFTI
Langkah tersebut turut disokong oleh Pejabat Mufti Singapura yang menerbitkan irsyad yang mengesahkan majlis akad nikah kini boleh dilakukan secara online.
"Mengambil kira situasi sekarang ini, dengan langkah-langkah jarak selamat yang perlu diperhatikan bagi mengawal penularan COVID-19, Pejabat Mufti berpandangan bahawa Pejabat Pendaftar Pernikahan orang Islam (ROMM) boleh mengendalikan upacara pernikahan melalui persidangan video, apabila ada keperluan kepadanya, selagimana dapat dipastikan bahawa segala pensyaratan yang ditetapkan dalam hukum Islam berkaitan kesahihan akad pernikahan itu dipenuhi," menurut irsyad di laman Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang bertarikh 24 April.
Mengulas di Facebook berhubung perkembangan terbaru itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata: "Saya bangga dengan para asatizah kita kerana mereka dapat mencari huraian praktikal agar keperluan masyarakat dapat dipenuhi dalam masa yang mencabar ini."
"Bagi para mempelai yang terjejas, saya harap dengan adanya pilihan untuk bernikah secara dalam talian, ia boleh sedikit sebanyak meringankan kebimbangan anda, InsyaAllah," tambah beliau.
Namun begitu, beliau menekankan meskipun huraian kini tersedia untuk memastikan acara-acara penting diteruskan, orang ramai perlu terus "patuh kepada langkah-langkah jarak selamat."
"Justeru itu, saya harap pasangan-pasangan serta keluarga mereka akan terus menunda majlis persandingan mereka sehingga keadaan COVID-19 di Singapura bertambah baik. Ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan keluarga dan masyarakat terjaga," kata beliau.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.