Skip to main content

Singapura

Pemeriksaan TB diwajibkan bagi penduduk blok 2 Jalan Bukit Merah selepas 170 diuji positif

Pemeriksaan tuberkulosis atau batuk kering (TB) bagi para penduduk dan para pekerja di Blok 2 Jalan Bukit Merah kini dijadikan mandatori selepas sekitar 170 individu yang diperiksa sebelum ini diuji positif.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemeriksaan TB diwajibkan bagi penduduk blok 2 Jalan Bukit Merah selepas 170 diuji positif

Petikan skrin Google Street View bagi Blok 2 Jalan Bukit Merah Road.

SINGAPURA: Pemeriksaan tuberkulosis atau batuk kering (TB) bagi para penduduk dan para pekerja di Blok 2 Jalan Bukit Merah kini dijadikan mandatori selepas sekitar 170 individu yang diperiksa sebelum ini diuji positif, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (24 Jun).

Kementerian Kesihatan menyatakan dalam kenyataan medianya bahawa pihaknya akan melanjutkan pemeriksaan batuk kering bagi mereka yang tinggal atau bekerja di blok terjejas kepada 24 Jun dan 25 Jun.

Ini menyusuli pusingan awal pemeriksaan batuk kering secara sukarela bagi individu-individu tersebut dari 27 hingga 31 Mei. Imbasan X-ray dada di tempat pemeriksaan juga akan dijalankan bagi para penduduk yang terpilih, yang memerlukan ujian lanjut.

"Latihan pemeriksaan dan ujian lanjut yang diperluaskan ini akan dijalankan secara percuma. Semua individu yang tinggal atau bekerja di blok itu yang belum diperiksa bagi batuk kering perlu menyertai latihan pemeriksaan yang dilanjutkan itu," jelas MOH.

"Pemeriksaan itu diwajibkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit. Mereka yang dipanggil semula bagi ujian lanjut perlu menjalani ujian-ujian ini."

Kementerian Kesihatan menambah bahawa para anggota kakitangan dari Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) sudah melakukan lawatan ke "unit-unit yang tidak memberi respons" bagi mendampingi dan menggesa penduduk yang belum diperiksa sebelum ini, agar menjalani pemeriksaan.

Pemeriksaan tidak diperlukan bagi individu yang melawat blok atau kawasan itu sekali-sekala kerana risiko penularan kepada individu yang merupakan kontak sementara kes batuk kering adalah rendah.

MOH menyatakan sebanyak 574 daripada 749 individu dari blok itu sudah menjalani pemeriksaan batuk kering setakat sehingga Khamis.

"Daripada 574 individu yang diperiksa, sekitar 30 peratus diuji positif bagi batuk kering melalui ujian darah," menurut MOH, tanpa memberi jumlah yang khusus. Ini membawa kepada sekitar 170 individu.

Kementerian Kesihatan juga menyatakan ujian lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada individu-individu tersebut dijangkiti batuk kering atau menghidap penyakit batuk kering aktif.

MOH menyatakan mereka dengan penyakit batuk kering aktif akan dirawat manakala mereka dengan jangkitan batuk kering "terpendam" akan diberi janji temu bagi pemeriksaan lanjut di Unit Kawalan Tuberkulosis dan ditawarka rawatan jika sesuai.

"Kami juga mengesan satu lagi kes yang berkait secara genetik oleh Penjujukan Genom Menyeluruh kepada kluster itu. Siasatan kontak bagi kes baru itu sedang dijalankan."

Stesen pemeriksaan akan ditempatkan Pusat Jawatankuasa Penduduk Zon Hock San Queenstown di Blok 3 Jalan Bukit Merah.

Para penduduk yang tidak boleh menghadiri pemeriksaan itu pada kedua-dua hari itu boleh diuji di Klinik SATA yang dikhususkan (Pusat Perubatan Potong Pasir) sebelum 5 Ogos.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita