Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemeriksaan percuma bagi kencing manis, darah tinggi dan barah di bawah SG Yang Lebih Sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Pemeriksaan percuma bagi kencing manis, darah tinggi dan barah di bawah SG Yang Lebih Sihat

Gambar fail pemeriksaan kesihatan percuma. (Gambar: Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Tampines)

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang menyertai program jagaan kesihatan nasional SG Yang Lebih Sihat akan boleh menjalani pemeriksaan percuma bagi tiga penyakit kronik dan tiga jenis barah.

Demikian diumumkan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Selasa (4 Okt).

Penyakit-penyakit itu adalah kencing manis Jenis Dua, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi serta barah payu dara, pangkal rahim dan barah usus.

Mereka yang mempunyai faktor risiko tertentu pula mungkin akan dirujukkan untuk menjalani ujian lanjut.

Encik Ong berkata beliau mengemukakan usul untuk meluluskan Kertas Putih bagi program SG Yang Lebih Sihat sebagai asas bagi transformasi sistem jagaan kesihatan Singapura.

Ini sedang Singapura berusaha menangani cabaran penduduk semakin menua dan kesan yang bertambah teruk akibat penyakit kronik.

Strategi baru itu bertujuan untuk memastikan rakyat memandang serius penjagaan kesihatan mereka sendiri, di mana mereka boleh mendaftar dengan seorang doktor yang akan membantu mereka dalam menguruskan keperluan kesihatan mereka sepanjang hayat.
Di bawah rancangan yang disarankan itu, mereka yang memilih untuk mendaftar di SG Yang Lebih Sihat akan dapat menjadualkan rundingan kesihatan secara bersemuka, yang akan dibayar Pemerintah.

Mereka kemudiannya boleh membangunkan pelan kesihatan dengan doktor mereka, yang akan terus memantau kemajuan mereka menerusi konsultasi susulan. Ini akan memberikan gambaran keseluruhan status kesihatan mereka, keperluan perubatan serta matlamat kesihatan, diikuti dengan pelan tindakan, seperti gaya hidup atau pengurusan berat badan.

Pertama kali diumumkan semasa Perbahasan Perbekalan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Mac, SG Yang Lebih Sihat dibuka kepada mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas untuk mendaftar pada separuh kedua 2023.

Ia akan disediakan secara beransur-ansur kepada mereka yang berumur antara 40 dengan 59 tahun dalam tempoh dua tahun akan datang.

PENJAGAAN PENCEGAHAN

Perbelanjaan penjagaan kesihatan negara Singapura sekarng ini berjumlah sekitar S$22 bilion setahun.

Bagamanapun, ia dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada S$60 bilion pada 2030.

Untuk memperlahankan kadar peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan, Pemerintah akan memberi lebih tumpuan kepada penjagaan pencegahan dengan harapan dapat membantu rakyat menjadi lebih sihat.

Pada masa ini, kira-kira 6 peratus daripada belanjawan penjagaan kesihatan tahunan Singapura diperuntukkan untuk penjagaan pencegahan seperti membiayai Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB). Bagaimanapun, Encik Ong berkata harapannya adalah untuk menambah jumlah itu di bawah inisiatif penjagaan kesihatan baru.

"Dengan SG Yang Lebih Sihat, pada tahun-tahun akan datang, kami akan dan kami mahu mengembangkanya - mungkin untuk menggandakan bahagian keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan," kata Encik Ong.

Beliau menambah bahawa kos menubuhkan SG Yang Lebih Sihat dianggarkan menelan belanja lebih S$1 bilion dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Ini akan digunakan untuk membiayai sistem IT baru, keupayaan sokongan asas, dan untuk memberi "sokongan sekali sahaja" kepada doktor awam (GP) untuk meningkatkan IT yang diperlukan.

Selain itu, terdapat juga kos berulang, kata Encik Ong.

Ini termasuk langkah sokongan pembiayaan untuk penduduk dan yuran perkhidmatan tahunan untuk GP, katanya, sambil menambah bahawa ia dianggarkan menelan belanja S$400 juta lagi setahun.

"Dalam membuat pelaburan ini, motivasi utama kami adalah untuk mengurangkan beban penyakit, mengurangkan penderitaan rakyat kami dan orang tersayang," katanya.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan