Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemeriksaan di kedai pai ayam 'dikendali dengan wajar', kata MOM selepas dituduh bertindak agresif

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pada Rabu (19 Jul) bahawa pemeriksaan di kedai Chicken Pie Kitchen dan Don Signature Crab di Jalan Besar pada awal minggu ini "dijalankan dengan wajar", merujuk kepada video yang dirakam melalui kamera badan.

Kenyataan MOM itu dibuat selepas kedai tersebut memuat naik di Facebook berhubung satu insiden yang berlaku pada Isnin, yang menuduh individu-individu mendakwa dari kementerian tersebut "menceroboh masuk" kedai tersebut dan menuntut untuk melihat kad pengenalan peribadi kakitangan kedai tersebut.

Menurut catatan tersebut, pegawai-pegawai MOM itu pergi ke bahagian-bahagian lain premis restoran berkenaan termasuk tempat juruwang "tanpa kebenaran". Ia menambah bahawa pegawai-pegawai tersebut juga memasuki bilik pastri dan dapur, di mana makanan sedang disediakan, tanpa memakai pelitup atau pelindung titisan air liur yang diperlukan pengendali makanan yang bekerja di tempat sedemikian.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, MOM menyatakan bahawa pegawainya memakai kad waran MOM, dan telah mengenalkan diri mereka serta menjelaskan tujuan pemeriksaan yang dijalankan kepada kakitangan.

"Mereka telah meminta kad pengenalan diri kakitangan syarikat tersebut dengan sopan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan tersebut," kata seorang jurucakap MOM. "Pegawai kami bersikap secara tenang dan hormat sepanjang pemeriksaan tersebut."

"Mereka juga bersikap berhati-hari bagi mengurangkan gangguan terhadap operasi syarikat dan tidak menjejas dua pelanggan yang berada di (restoran tersebut) ketika pemeriksaan (dilakukan)."

Gambar yang dilihat Mediacorp menunjukkan pegawai MOM menggunakan sekurang-kurangnya dua meja di restoran, yang mampu menampung 25 pelanggan, semasa pemeriksaan tersebut.

Pengarah restoran tersebut Kevin Leong, memberitahu Mediacorp bahawa persiapan makanan terjejas pada Isnin malam dan pagi Selasa.

Menurutnya penjualan pada Selasa adalah 28 peratus lebih rendah berbanding seminggu lalu kerana mereka tidak dapat menghasilkan jumlah makanan seperti biasa.

KESALAHAN BERKAITAN PENGAMBILAN PEKERJA

MOM menyatakan bahawa dua pekerja hijrahan yang ditemui bekerja di restoran tersebut, mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing. Mereka diarah berhenti kerja serta-merta.

MOM telah memulakan siasatan terhadap syarikat tersebut atas kesalahan berkaitan dengan pengambilan pekerja.

Encik Leong berkata beliau tidak diberitahu mengenai pelanggaran yang mungkin berlaku, tetapi hanya dimaklumkan mengenai siasatan yang sedang dijalankan.
 


Kedua-dua pengarah restoran itu, Encik Leong dan Cik Vanessa Tan juga mempersoalkan sebab kedua-dua pekerja tersebut tidak dibawa pegawai MOM itu, sekiranya mereka betul-betul melakukan kesalahan.

Menurut Encik Leong, pegawai tersebut tidak menyediakan sebarang surat atau dokumen kepada restoran tersebut.


SELEPAS WAKTU PEJABAT


Seorang kakitangan memberitahu Mediacorp pada awalnya beliau ingatkan ia adalah pemeriksaan rutin, tetapi keadaan berubah apabila mereka bertanya tentang identiti pegawai MOM itu.

Encik Leong, juga mempersoalkan waktu pemeriksaan itu dijalankan .

Menurutnya, beliau telah bertanya rakannya dalam industri makanan dan minuman, yang mendapati waktu pemeriksaan itu dijalankan "sangat pelik".

"Biasanya mereka akan melakukan pemeriksaan semasa waktu pejabat, supaya jika terdapat sebarang pertanyaan, ia dapat dijawab dengan seseorang (di MOM)," jelasnya.


MOM, yang menyatakan bahawa pemeriksaan tersebut bermula pada 5.00 petang berkata: "Jika sebarang syarikat atau orang awam mencurigai identiti seseorang pegawai MOM, mereka boleh mengesahkan identiti individu tersebut menerusi talian hotline kami di 6438 5122 dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat dan 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari pada setiap Sabtu."

MOM menyatakan pegawainya memberikan nombor telefon seorang penyelia kepada salah seorang pengarah syarikat itu.

"Pengarah itu bercakap dengan penyelia MOM dan diyakinkan oleh pegawai kami bahawa mereka memang pegawai MOM. Pengarah itu tidak mengemukakan bantahan lanjut selepas perbualan itu."
 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan