Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemeriksaan 100% pada kenderaan keluar S'pura akan jejas teruk pergerakan trafik, ganggu aliran perdagangan

Anggaran Waktu Membaca:
Pemeriksaan 100% pada kenderaan keluar S'pura akan jejas teruk pergerakan trafik, ganggu aliran perdagangan

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 24 Jul 2022 06:25PM Dikemas Kini : 24 Jul 2022 06:26PM

SINGAPURA: Melakukan pemeriksaan ke atas semua kenderaan yang meninggalkan Singapura dari pusat pemeriksaan darat akan memberi kesan yang ketara pada perdagangan dan percutian dan ia berpotensi "memburukkan" keadaan trafik di kawasan keberangkatan. 

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). 

"Sekalipun pemeriksaan tidak 100 peratus, jumlah pemeriksaan yang dijalankan tidak terlalu rendah atau boleh diabaikan bilangannya," menurut ICA. 

ICA menjelaskan demikian semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Sabtu (23 Jul) mengenai bagaimana pasangan yang dipercayai gagal menghantar beg-beg berjenama dan jam tangan mewah kepada para pelanggan mereka, boleh meloloskan diri dari Singapura. 

Penjenayah tersebut - warga Singapura Pi Jiapeng dan warga Thailand Pansuk Siriwipa - meninggalkan Singapura dengan bersembunyi dalam kompartmen kontena sebuah lori dan dibantu oleh seorang lelaki warga Malaysia berusia 40 tahun.

ICA turut ditanya sama ada pihaknya akan menimbangkan untuk menyemak semula dasarnya untuk tidak memeriksa 100 peratus kenderaan yang meninggalkan Singapura melalui pusat-pusat pemeriksaan. 

Dalam responsnya, ICA menyatakan bahawa pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura adalah salah satu lintasan darat yang paling sibuk di dunia dan sekitar 200,000 pelawat berlepas setiap hari sebelum pandemik COVID-19 melanda. 

Sebarang kelengahan dalam membenarkan kenderaan berlepas pada waktu sibuk akan menyebabkan kesesakan di beberapa jalan raya seperti Ekspreswe Bukit Timah (BKE) menghala ke Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) menghala ke Pusat Pemeriksaan Tuas, menurut ICA. 

Tambah ICA, ia mengambil "pendekatan pengurusan risiko" terhadap pemeriksaan pelawat, barangan dan penghantaran, dan mengambil "pendekatan yang mengutamakan ketibaan" bagi keselamatan sempadan, yang menurut ICA, adalah amalan biasa di peringkat antarabangsa dan dilakukan untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber. 

Inilah sebabnya mengapa pendekatan untuk menyemak pelepasan diubah berdasarkan pendirian keselamatan semasa Singapura, menurut ICA. 

Dalam pada itu, semua penghantaran yang tiba di Singapura dikehendaki menjalani pemeriksaan 100 peratus untuk melindungi sempadan Singapura "terhadap penyeludupan barangan secara haram atau kemasukan individu yang tidak diingini, khusunya barangan sensitif terhadap keselamatan negara". 

Ini adalah keutamaan nombor satu bagi ICA, menurut penguasa tersebut. 

"Oleh itu pendekatan yang lebih seimbang telah dilaksanakan."

Menjelaskan pendekatan semasa itu, ICA menyatakan ia menjalankan operasi biasa dan rambang pada penghantaran yang berlepas dari Singapura setiap hari. Pemeriksaan itu termasuk pemeriksaan pada but kereta, kompartmen enjin dan beg dalam bas serta kompartmen kabin dan kontena lori. 

Pemeriksaan bersasar dan menyeluruh juga dijalankan pada kenderaan yang berlepas dari Singapura berdasarkan profil risiko dan maklumat yang diterima, tambah ICA. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan