Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemergian yang mengejutkan; luah ibu kepada kanak-kanak 4 tahun yang meninggal dunia akibat COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Pemergian yang mengejutkan; luah ibu kepada kanak-kanak 4 tahun yang meninggal dunia akibat COVID-19

Pemergian yang mengejutkan; luah ibu kepada kanak-kanak 4 tahun yang meninggal dunia akibat COVID-19. (Gambar-gambar: Mardalina Mohamed Nossi)

SINGAPURA: Pemergian kanak-kanak empat tahun, Raisya Ufairah Mohammed Ashraff, yang meninggal dunia akibat COVID-19 Ahad lalu (17 Jul) adalah sesuatu yang mengejutkan dan menyedihkan bagi seisi keluarganya.

Ini memandangkan dia disahkan positif dijangkiti virus itu pada hari yang sama.

Menurut ibunya, Mardalina Mohamed Mohamed Nossi, anaknya itu merupakan seorang yang baik kerana tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih setiap kali menerima sesuatu.


(Gambar: Mardalina Mohamed Nossi)

Pemergiannya ini juga amat berat kerana Allahyarhamha merupakan satu-satunya anak perempuan kepada Cik Mardalina dan suami.

Antara anak kembar lelaki mereka dan Allahyarhamha, mereka menunggu kira-kira tujuh tahun untuk mendapatkan seorang puteri.

"Sejujurnya, kalau orang tengok kita di hadapan ini nampak kuat. Sebenarnya tidak. Dalam hati ini memang berat dan sangat sakit sebab dia adalah satu-satunya anak perempuan dan anak yang sudah lama kami tunggu jadi buah hati," luah Cik Mardalina kepada BERITAmediacorp.

"Sangat sakit dan sangat terkejut kerana kami tidak menyangka pada pagi yang kami mendapat tahu dia diserang COVID-19, tiba-tiba malam (itu) dia pergi bersama COVID itu," tambah beliau.

HASIL UJIAN ART PADA MULANYA NEGATIF

Pada mulanya, Cik Mardalina mengesyaki Raisya dijangkiti COVID-19 kerana pembantu rumahnya terlebih dahulu positif COVID-19 dan anaknya juga mengalami simptom-simptom seperti demam dan sakit tekak.

Apabila melakukan ujian ART, hasilnya bagaimanapun negatif.

Namun, pada Ahad siang (17 Jul), apabila demam dan suhu badannya semakin naik, beliau dan suami mengambil keputusan untuk membawa Raisya berjumpa Doktor Swasta (GP), di mana anaknya disahkan positif COVID-19.

KEADAAN RAISYA BERTAMBAH BURUK PADA HARI YANG DIA DISAHKAN POSITIF COVID-19

Selepas dibawa pulang, keadaan Raisya bertambah teruk pada malam itu juga.

Selain tidak ada selera untuk makan, Raisya juga kerap meminta air putih untuk diminum.

Menurut Cik Mardalina, Raisya juga masih mengalami sakit tekak. Lantaran itu, beliau mengajak anaknya untuk makan ubat.


(Gambar: Mardalina Mohamed Nossi)

"Belum sempat makan ubat itu, dia sudah muntah dan mulut dia tiba-tiba berbuih," kata Cik Mardalina.

"Muka dia sudah pucat dan bibir dia mula menjadi biru. Jadi saya hubungi suami. Saya bercakap dengan dia cepat, anda mungkin akan perlu balik sebab anak ini sakit," tambahnya lagi.

Beliau akui bahawa ada perasaan panik kerana pada ketika itu, suaminya tidak ada di sisi kerana keluar bekerja.

"Fikiran masa itu dengan kuasa Allah, Allah berikan saya walaupun dalam keadaan panik, dapat berfikir secara logik dan secara waras kerana saya fikir kalau saya menelefon ambulans, ambulans lambat dan akan mengambil 15 hingga 20 minit," ujar Cik Mardalina yang membuat keputusan untuk membawa sendiri anaknya ke klinik.

"Sambil memandu itu, sekali lagi kuasa Allah, Allah dapat membuat saya berfikir bagaimana kalau saya sampai di klinik, klinik itu tutup. Jadi saya menelefon ambulans," tambahnya lagi.

Sambil menunggu ambulans, beliau diarahkan untuk meletakkan anaknya di tepi jalan dan melakukan CPR.

Seorang lelaki kemudian membantunya untuk melakukan CPR juga.

Beberapa minit kemudian, ambulans tiba untuk membawanya ke hospital.

(Gambar: Mardalina Mohamed Nossi)

Selepas kira-kira dua jam tiba di hospital, doktor memberitahu Cik Mardalina, anaknya sudah meninggal dunia.

"Abang-abang dia juga berasa sedih dan menangis kerana secara tiba-tiba, mereka kehilangan seorang adik yang mereka menyayangi, yang selalu bermain dan ketawa bersama. Jadi untuk kami sekeluarga, rasa agak terkejut," kata Cik Mardalina yang mempunyai anak kembar lelaki berusia 11 tahun.

Raisya ialah kanak-kanak kedua bawah usia 12 tahun yang meninggal dunia kerana COVID-19 di negara ini.

Ini berikutan kematian kanak-kanak berusia setahun setengah pada 27 Jun lalu akibat COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan