Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemergian Ustaz Ali 'kehilangan besar' bagi masyarakat Islam tempatan, SG

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Mar 2023 06:56PM Dikemas Kini : 18 Mar 2023 12:09PM
BERITAmediacorp: Pemergian Presiden Emeritus Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustaz Ali Hj Mohamed diratapi dan meninggalkan kesan besar bukan sahaja kepada masyarakat Melayu/Islam, tetapi kepada masyarakat Singapura secara amnya.

Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean menyampaikan takziahnya dan "berdukacita" di atas pemergian Ustaz Ali dalam catatannya di laman Facebook hari ini (17 Mac).

Encik Teo juga memberi penghormatan kepada Ustaz Ali, yang juga pengasas RRG, yang memainkan peranan penting dalam memerangi tindakan ekstrem yang ganas.

"Penghormatan mendalam saya kepada Allahyarham Ustaz Ali, pengasas RRG selama lebih 20 tahun.

"RRG memainkan peranan penting dalam memerangi tindakan ekstrem yang ganas dan memulihkan mereka yang sudah mengambil jalan yang salah.
"RRG mengambil langkah berani untuk tampil menjalankan tugas yang sukar dan mencabar ini serta melindungi perpaduan sosial dan keselamatan kita," tulis Encik Teo.

PEMERGIAN USTAZ ALI 'KEHILANGAN BESAR'

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) menyifatkan pemergian Allahyarham Ustaz Ali sebagai kehilangan besar baginya.

"Ustaz berkhidmat sebagai Presiden PERGAS dari 1988 hingga 1992. Beliau kemudian menyumbang sebagai masyaikh PERGAS serta menjadi salah seorang anggota Lembaga Pengarah Pergas Investment Holdings (PIH).

"Pemergiannya adalah kehilangan besar bagi kami semua," tulis persatuan itu di laman Facebook.

Pertubuhan Melayu/Islam AMP Singapore pula menyifatkan Allahyarham Ustaz Ali sebagai tokoh penting dalam masyarakat Islam di Singapura.

"Beliau salah seorang anggota pengasas RRG, rakan syarikat utama Kumpulan Jagaan Lanjut Silang Agensi (ACG), yang turut dianggotai AMP.

"Kami bekerjasama untuk memerangi kegiatan radikal dengan menyokong keluarga kepada tahanan yang radikal serta membina daya tahan masyarakat menerusi pendampingan," tulis AMP Singapore hari ini.

JASA, BAKTI USTAZ ALI DIKENANG

Masjid-masjid di Singapura turut menghargai jasa dan bakti Allahyarham Ustaz Ali kepada masyarakat dan negara.

Masjid Jamiyah Ar-Rabitah menyatakan melalui laman Facebook: "Pemergian Almukarram Ustaz yang sangat disayangi pasti terasa amat sedih dan dukacita dan ia adalah satu kehilangan yg sangat besar buat ahli keluarga, agama dan negara tercinta Singapura, namun Allah SWT lebih menyayanginya.

"Pasti segala jasa dan bakti Almarhum Ustaz dan segala pengorbanan dan sumbangannya tidak akan dilupakan dan akan dikenang selagi hayat dikandung badan."

Pihak Masjid Kassim juga memuji usaha-usaha Allahyarham.

"Allahyarham Ustaz Ali merupakan antara tampuk kepimpinan awal yang mengasaskan dan menerajui RRG dan komited dalam pemulihan keagamaan.

"Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya, melepaskannya daripada azab kubur dan memasukkannya ke dalam syurga," tulis pihak Masjid Kassim di laman Facebook.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan