Skip to main content

Singapura

Pemergian Hairil 'amat menyayat hati'; akan bantu keluarganya harungi detik sukar: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Pemergian Hairil 'amat menyayat hati'; akan bantu keluarganya harungi detik sukar: Dr Faishal

Muhammad Hairil Muhammad Effendi ditemui terapung di laut dekat Taman East Coast. (Gambar: Facebook/Reunite Missing Children)

SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menyifatkan pemergian kanak-kanak berusia 11 tahun, Muhammad Hairil Muhammad Effendi, yang ditemui terapung di laut dekat Taman East Coast sebagai "amat menyayat hati".

Beliau berkata demikian menerusi catatannya di laman Facebook pada Ahad (31 Ogos).

<<BACA: Polis kenal pasti identiti jenazah kanak-kanak ditemui di Taman East Coast>>

Pada pagi tadi, Dr Faishal turut menziarahi keluarga almarhum Hairil di Hospital Besar Singapura (SGH) bagi menyampaikan takziah atas pemergiannya.

"Semoga keluarga adik Hairil diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi masa sukar ini," kata Dr Faishal.

Beliau turut menarik perhatian kepada keprihatinan orang ramai yang tampil berkongsi maklumat dan menyertai usaha mencari Hairil, selain meluangkan masa dan tenaga mereka "dengan penuh keikhlasan".

Dr Faishal bersama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), masjid-masjid khususnya di Marine Parade dan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming turut menggerakkan rangkaian masyarakat Marine Parade-Braddell Heights untuk menyertai usaha mencari kanak-kanak itu.

Menurut Dr Faishal, keluarga almarhum juga menzahirkan "setinggi-tinggi penghargaan atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan oleh semua pihak yang membantu", termasuk orang awam yang tidak dikenali.

"Saya juga sangat tersentuh dan terharu dengan keprihatinan dan sokongan padu yang mencurah-curah daripada rakyat Singapura.

"Ini mencerminkan sifat belas ihsan dan semangat gotong-royong yang mendalam yang menyatukan kita semua sebagai rakyat Singapura," kata Dr Faishal.

"Saya bersama-sama MOS Goh Pei Ming, para penasihat dan pemimpin akar umbi, serta agensi perkhidmatan sosial di GRC Marine Parade-Braddell Heights akan membantu keluarga adik Hairil menempuhi detik-detik sukar ini.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas adik Hairil dan menempatkan almarhum di syurga," tambah Dr Faishal.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita