Pemerdagangan manusia di Asia Tenggara kini satu krisis global, kata Interpol
"Bermula sebagai ancaman jenayah serantau di Asia Tenggara ia kini menjadi krisis pemerdagangan manusia global, dengan jutaan mangsa dikesan, dalam pusat penipuan siber dan menjadi sasaran," kata Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock.

Gambar fail: Bangunan Interpol di Lyon, Perancis. (FRED DUFOUR /AFP)
SINGAPURA: Polis Antarabangsa (Interpol) mengesahkan kumpulan jenayah terancang sindiket pemerdagangan manusia dan pusat penipuan siber kini tidak lagi hanya tertumpu di Asia Tenggara sebaliknya berkembang ke rangkaian global yang menghasilkan sehingga AS$3 trilion (S$4 trilion) setahun.
"Didorong oleh kerahsiaan dalam online, model perniagaan baharu dan akibat COVID-19, kumpulan jenayah terancang ini kini bekerja pada skala yang tidak dapat dibayangkan berbanding sedekad lalu," kata Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock pada Rabu (27 Mac) melalui taklimat di badan penyelarasan polis global di pejabatnya di Singapura.
"Bermula sebagai ancaman jenayah serantau di Asia Tenggara ia kini menjadi krisis pemerdagangan manusia global, dengan jutaan mangsa dikesan, dalam pusat penipuan siber dan sebagai sasaran."
Menurut Encik Stock, pusat penipuan siber baharu, selalunya dikendalikan oleh kakitangan yang pada mulanya dijanjikan pekerjaan yang sah, sekali gus membantu kumpulan jenayah terancang mempelbagaikan jenayah mereka daripada pengedaran dadah.
Tambah beliau, jenayah pengedaran dadah masih menyumbang 40 hingga 70 peratus daripada pendapatan kumpulan jenayah.
"Tetapi kami melihat mereka mempelbagaikan perniagaan jenayah menggunakan laluan pengedaran dadah untuk pemerdagangan manusia dan senjata, harta intelek serta curi kereta," katanya.
Encik Stock berkata, kira-kira AS$2 trilion (S$2.7 trilion) hingga AS$3 trilion (S$4 trilion) hasil haram disalurkan melalui sistem kewangan global setiap tahun.
Katanya, kumpulan jenayah terancang boleh menjana 'pendapatan' sehingga AS$50 bilion (S$67.5 bilion) setahun.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih 100,000 orang diperdagangkan ke pusat penipuan online di Kemboja tahun lalu.
Pada November, Myanmar menyerahkan ribuan suspek penipuan telekomunikasi China yang menjadi buruan kepada China.
Siasatan Reuters tahun lalu melaporkan dengan terperinci kemunculan di Thailand satu cabang jenayah siber dan pembiayaannya.
Encik Stock memuji Singapura kerana berjaya membongkar kes pengubahan wang haram tahun lalu melibatkan aset yang dirampas berjumlah lebih S$3 bilion.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.