Skip to main content

Singapura

Pemerdagangan bayi Indonesia: Agensi pengambilan anak angkat SG perlu lakukan usaha wajar kaji asal usul

Agensi-agensi pengambilan anak angkat di Singapura perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya dan membawa masuk kanak-kanak "dengan latar belakang dan asal usul yang betul", kata Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Goh Pei Ming pada Rabu (14 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
Pemerdagangan bayi Indonesia: Agensi pengambilan anak angkat SG perlu lakukan usaha wajar kaji asal usul

Polis Indonesia dan Pasukan Polis Singapura (SPF) bekerjasama dalam menyiasat sindiket pemerdagangan bayi rentas sempadan yang terbongkar di Jawa Barat. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 14 Jan 2026 09:58PM Dikemas Kini : 14 Jan 2026 09:59PM
  • Menteri Goh Pei Ming menekankan agensi pengambilan anak angkat di Singapura mesti memastikan latar belakang kanak-kanak adalah sah dan mematuhi undang-undang.
  • Siasatan terhadap sindiket pemerdagangan bayi Indonesia menyebabkan permohonan kerakyatan kanak-kanak terjejas ditangguhkan, menimbulkan tekanan kepada keluarga angkat.
  • Ibu bapa angkat dan agensi berkongsi tanggungjawab dalam memastikan proses pengambilan anak angkat berjalan dengan telus dan selamat.
  • Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bersedia membantu keluarga yang terkesan, dan proses siasatan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa Indonesia.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Agensi-agensi pengambilan anak angkat di Singapura perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya dan membawa masuk kanak-kanak "dengan latar belakang dan asal usul yang betul", kata Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Goh Pei Ming pada Rabu (14 Jan).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Cik Sylvia Lim (WP-Aljunied) di parlimen mengenai sindiket pemerdagangan bayi Indonesia yang disyaki membawa masuk bayi ke Singapura.

Namun, memandangkan agensi-agensi itu beroperasi secara komersial, ibu bapa angkat turut memikul sebahagian daripada tanggungjawab itu, kata Encik Goh.

Pada September tahun lalu, Kepolisian Negara Republik Indonesia menyatakan sindiket pemerdagangan bayi rentas sempadan itu didakwa mengumpul 25 bayi dan 15 sudah pun dihantar ke Singapura "kononnya untuk diambil sebagai anak angkat".

Pihak berkuasa Singapura menyatakan pada minggu lalu bahawa ibu bapa angkat kepada kanak-kanak yang dibawa masuk dari Indonesia ke Singapura berdepan kelengahan dalam permohonan kewarganegaraan anak-anak mereka di tengah-tengah siasatan terhadap sindiket itu.

Cik Lim berkata ibu bapa di Singapura adalah pihak yang tidak bersalah, dan perintah pengambilan anak angkat diberikan berdasarkan saranan oleh pegawai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) atau rakan-rakan kongsinya.

Beliau bertanya jika siasatan yang sedang dijalankan menjejas keyakinan awam terhadap proses pengambilan anak angkat, dan sama ada pegawai MSF atau rakan kongsinya dapat menemui sebarang insiden mencurigakan sebelum perintah pengambilan anak angkat dibuat.

Encik Goh berkata terdapat beberapa proses untuk memastikan bahawa pihak agensi mematuhi prosedur untuk memastikan bayi-bayi itu adalah daripada "sumber yang wajar", tetapi tanggungjawab terletak pada ibu bapa angkat untuk cuba sebaik mungkin bagi memastikan kanak-kanak itu dikenal pasti, dipadankan dan ditempatkan dalam keluarga yang selaras dengan undang-undang Singapura dan negara asal kanak-kanak itu.

Cik Lim kemudian bertanya sama ada pihak agensi dapat lakukan lebih banyak lagi untuk menghalang isu yang sama daripada berlaku pada masa hadapan.

"Kerana, bagi ibu bapa itu, apa yang boleh mereka lakukan?" soalnya.

Encik Goh berkata pihak berkuasa mempunyai garis panduan bagi agensi mengenai apa yang boleh mereka lakukan, tidak boleh lakukan dan apakah usaha wajar bagi pihaknya.

"Jika kami mendapati agensi-agensi itu maklum bahawa kanak-kanak yang dibawa masuk itu daripada asal usul yang mencurigakan dan tidak diketahui, dan sungguhpun demikian, mereka tetap membawanya masuk, tindakan akan diambil terhadapnya ... Kami akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi-agensi tersebut," katanya.

Agensi-agensi pengambilan anak angkat perlu melakukan semua pemeriksaan sewajarnya sebelum membawa masuk kanak-kanak ke Singapura, katanya.

"Sungguhpun demikian, mungkin masih ada kes di mana sesuatu tindakan mungkin dilakukan di negara asal, dengan agensi di Singapura tidak tahu-menahu tentang latar belakangnya," katanya.

PERMOHONAN KERAKYATAN DITANGGUH

Cik Lim juga bertanya sama ada MSF akan menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas oleh siasatan mengenai sindiket yang dipercayai menjalankan pemerdagangan bayi Indonesia, sambil menukil yuran penjagaan kanak-kanak yang lebih tinggi bagi kanak-kanak warga asing, yang mana permohonan kerakyatan mereka ditangguh.

MSF juga sedia maklum mengenai tekanan emosi dan kewangan terhadap ibu bapa dan keluarga, kata Encik Goh, sambil menambah bahawa ibu bapa angkat boleh menghubungi pihak kementerian, dan setiap kes akan dinilai berdasarkan keadaan.

Beliau menjelaskan bahawa proses pengambilan anak angkat dan proses memohon kewarganegaraan adalah berasingan kerana ia ditadbir oleh rangka kerja undang-undang dan pertimbangan dasar yang berbeza.

Pengambilan anak angkat mengesahkan hubungan sah antara ibu bapa dan anak, dan dinilai terutamanya berdasarkan kebajikan kanak-kanak dan kesesuaian ibu bapa angkat.

Permohonan kerakyatan dinilai berdasarkan pertimbangan imigresen.

Hubungan antara ibu bapa dengan anak perlu dijalin terlebih dahulu, dan tidak semua permohonan pengambilan anak angkat diluluskan untuk mendapat kerakyatan, katanya.

Encik Goh juga berkata beliau tidak dapat mengulas mengenai garis masa siasatan yang sedang dijalankan, dan Singapura sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia.

"Kami faham bahawa ketidakpastian ini mungkin menyebabkan sedikit keresahan bagi keluarga yang terjejas," katanya, sambil menambah bahawa pihak MSF bersimpati dengan ibu bapa.

"Kami cuba untuk meneruskan proses secepat mungkin ... untuk memberi penyelesaian kepada keluarga," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita