Pemeras S$500,000 dari Bank Standard Chartered didakwa
Seorang lelaki yang dipercayai cuba memeras S$500,000 daripada Bank Standard Chartered didakwa pada Selasa (2 Okt) kerana cuba meletakkan seorang lelaki dalam keadaan bahaya gara-gara cuba memeras ugut wang.
(Gambar fail: Bobby Yip/Reuters)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang dipercayai cuba memeras S$500,000 daripada Bank Standard Chartered didakwa pada Selasa (2 Okt) kerana cuba meletakkan seorang lelaki dalam keadaan bahaya gara-gara cuba memeras ugut wang.
Nagarajan Balajee, seorang warga India berusia 35 tahun, dituduh mengancam untuk menerbitkan fitnah mengenai Ketua Global Perbankan Digital dan Runcit Standard Chartered, Aalishaan Zaidi, 47 tahun, jika Encik Zaidi tidak menyerahkan wang tunai bernilai S$500,000 kepadanya.
Nagarajan dipercayai melakukan jenayah itu pada pagi 27 September di cawangan Standard Chartered@Changi 2 di Changi Business Park Crescent.
Bank itu membuat aduan polis pada hari yang sama dan Nagajaran diberkas di Kovan tiga hari kemudian. Encik Zaidi adalah salah seorang kakitangan yang menerima kiriman emel daripada tertuduh.
Dalam aduan polis, StanChart menyatakan bahawa ia menerima beberapa emel yang menuntut S$500,000 sekiranya ia tidak mahu maklumat sulit mengenai bank itu dibocorkan.
Bank StanChart kemudian mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan bahawa insiden itu "tiada kaitan dengan data pelanggan atau sistem-sistem kekal selamat".
"Ini merupakan insiden berasingan dan bukan akibat ancaman berhubung keselamatan siber luar," kata jurucakap StanChart.
Nagarajan ditawarkan ikat jamin S$20,000 dan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 30 Oktober.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan dirotan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.