Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pementasan seni diharap dapat tonjolkan isu-isu masyarakat dan tabu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penggiat seni muda berharap lebih banyak isu sosial atau tabu dapat diketengahkan dalam pementasan teater Melayu pada masa akan datang.

Itulah antara aspirasi yang dikongsi mereka dalam sesi perbincangan acara AKAR 2021.

Dengan bertemakan 'Bina Bakat, Teguh Budaya', edisi kelapan acara AKAR anjuran Variasi Performing Arts itu memperkenalkan pelbagai pembaharuan.

Ini termasuk menyepadukan simposium, bengkel serta sesi perbincangan dalam acaranya sepanjang dua hari.

Pada kemuncak perkhemahan seni itu, para peserta dan beberapa penggiat seni jemputan lain berbincang mengenai masa depan seni teater dan tarian Melayu di sini.

SENI BUKAN SEKADAR HIBURAN

Ketua, Simposium Seni & Bengkel - AKAR 2021, Encik Muhammad Andi Md Zulkepli menekankan mengenai peranan seni dalam mengetengahkan isu-isu dalam masyarakat.

"Kita inginkan seni kita menjadi seni yang sebenarnya seni yang berfungsi. Pastinya salah satu fungsinya adalah untuk memberi hiburan tapi tidak cukup hanya sekadar itu juga terkait dengan penghargaan kami terhadap seni itu sendiri.

"Seni kita harus dapat mengetengahkan ataupun mengangkat persoalan-persoalan kontemporari kita pada hari ini. Contohnya, yang barangkali satu perkara yang dianggap sebagai tabu perlu dikedepankan, perlu dibincangkan secara kritis. Jadi tidak kekal lagi sebagai tabu semata-mata," kata Encik Andi.
 

(Gambar: BERITAmediacorp/Arina Ahmad Anis)

Pihak penganjur juga berharap acara tersebut dapat dijadikan sebagai platform untuk penggiat seni muda mencurah idea dan bertukar pendapat tentang hala tuju industri yang mereka minati ini.

KESENIAN MELAYU DIHARAP TERUS DILESTARIKAN

Cik Nurul Zahirah Aman Khan, yang merupakan salah seorang peserta bengkel tersebut juga mengalu-alukan lebih ramai penggiat seni sepertinya bersikap lebih terbuka untuk menerima perbezaan pendapat dan idea daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, ia adalah suatu peluang untuk belajar daripada satu sama lain demi mencapai matlamat yang sama iaitu untuk membangunkan dunia seni persembahan dan landskap seni di Singapura.

"Harapan saya untuk seni Melayu Singapura dalam masa 10 tahun akan datang adalah kita dapat kembangkan lagi tidak kira seni tarian, bangsawan ataupun lakonan. Jangan hadkan seni kita itu kepada kumpulan kita sahaja. Kita kongsi dengan mungkin kaum-kaum lain

"Kalau ambil contoh macam di Korea ada drama sejarah, jadi mungkin kita boleh kembangkan bangsawan, jadikan drama. Kita gunakan karya-karya yang akan mencubit minat anak-anak muda," kongsi Cik Nurul Zahirah.

(Gambar: BERITAmediacorp/Arina Ahmad Anis)

Dalam masa kurang tiga jam sahaja, 24 peserta simposium dan bengkel seni AKAR juga perlu menghasilkan pementasan mini yang turut disaksikan tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan, Rahayu Mahzam.

Itu merupakan peluang para peserta mengasah bakat masing-masing dan beraksi di atas pentas - sesuatu yang dirindukan mereka dalam waktu pandemik ini.

Dalam kesempatan itu, Cik Rahayu juga menyeru kepada para peserta dan penggiat seni di luar sana untuk memanfaatkan platform yang ada bagi menyemarakkan lagi arena seni tempatan.

"Kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat menggunakan peluang untuk menggunakan platform seni untuk menyampaikan mesej-mesej penting buat masyarakat dan juga memperkayakan lagi budaya, bahasa dalam lingkungan seni itu.

"Jadi gunakan platform di kelab masyarakat, di sekolah-sekolah, di kawasan estet perumahan dan sebagainya. Saya rasa itu adalah peluang kita sampaikan kesenian kita kepada masyarakat umum," ujar Cik Rahayu.

Perkhemahan seni itu diadakan secara hibrid, menggabungkan acara online dan kegiatan fizikal.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan