Skip to main content

Singapura

Pemegang ijazah SG berdepan kadar pemberhentian kerja lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Pemegang ijazah SG berdepan kadar pemberhentian kerja lebih tinggi

Pekerja pejabat di Raffles Place, Singapura. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 23 Jun 2026 08:05AM
SINGAPURA: Berdasarkan data pasaran buruh suku tahunan terkini, pemegang ijazah mengalami kadar pemberhentian kerja yang meningkat dengan ketara, daripada 2.6 kepada 3.1 pekerja yang diberhentikan bagi setiap 1,000 penduduk tempatan.

Perangkaan tersebut lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan lebih rendah.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan perangkaan bagi suku pertama 2026 itu menunjukkan bahawa penyusunan semula syarikat masih tertumpu dalam kalangan pekerja berpendidikan tinggi.

Ini sekali gus mencerminkan proses penyusunan semula yang berterusan dalam sektor profesional serta sektor yang memberi penekanan kepada pengetahuan.

Pekerja berusia dalam lingkungan 50-an tahun turut berdepan kadar pemberhentian kerja yang lebih tinggi, meningkat daripada 2.8 kepada 3.1 pekerja yang diberhentikan bagi setiap seribu penduduk tempatan.

Ini sekali gus menjadikannya kumpulan usia yang paling terjejas.

Perubahan pada kadar pemberhentian pekerja ini menunjukkan bahawa tanggapan tradisional bahawa kelayakan akademik yang lebih tinggi dan jawatan kanan yang disandang, kononnya boleh menjamin keselamatan pekerjaan, mungkin tidak lagi tepat dalam landskap pekerjaan yang semakin berubah-ubah.

Data pemberhentian pekerja sebenarnya menunjukkan corak yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana pekerja yang lebih berpendidikan, berkemahiran tinggi dan lebih berusia lazimnya menghadapi risiko pemberhentian kerja yang lebih tinggi, menurut Profesor Madya Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakat Singapura (SUSS).

Ahli ekonomi buruh itu berkata pemberhentian pekerja berlaku apabila pertubuhan mempunyai lebihan tenaga kerja berbanding keperluan perniagaan mereka, dan bukan apabila mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan atau mengekalkan pekerja.

Di Singapura, syarikat-syarikat lazimnya berdepan kesukaran untuk merekrut dan mengekalkan pekerja bagi pekerjaan berkemahiran rendah.

Ini kerana keadaan kerja bagi pekerjaan tersebut dianggap kurang menarik dan warga Singapura secara amnya kurang berminat untuk menceburinya.

“Pekerjaan yang menjadi pilihan ramai biasanya mempunyai kadar pemberhentian kerja yang lebih tinggi berbanding pekerjaan yang kurang diminati,” kata Prof Madya Theseira.

“Jadi kita mungkin mempunyai pekerjaan atau kerjaya yang lebih terjamin tetapi kurang diminati (atas pelbagai sebab termasuk gaji rendah, prospek terhad atau kerja yang sukar), dan pekerjaan atau kerjaya yang kurang terjamin (tetapi menawarkan gaji tinggi dan prospek yang baik selagi industri berkembang) yang menjadi pilihan ramai.”

Beliau memberi contoh terkini mengenai kenaikan gaji dan bonus yang ditawarkan kepada kapten bas.

“Pengendali bas menghadapi kesukaran untuk merekrut pemandu, tetapi itu kerana keadaan kerjanya mencabar.”

Menurut beliau, keadaan ini bermakna pekerja perlu melihat keselamatan pekerjaan sebagai satu konsep yang agak berbeza daripada nilai sesuatu pekerjaan atau laluan kerjaya.

“Secara tradisional, kita mungkin beranggapan bahawa pendidikan tinggi dan kemahiran yang tinggi membawa kepada keselamatan pekerjaan serta laluan kerjaya yang baik,” katanya.

“Namun, apabila seseorang mempunyai pengkhususan dan tahap senioriti yang tinggi, menjadi lebih sukar untuk mencari pekerjaan setara sekiranya berlaku pemberhentian pekerja, terutama jika ia melibatkan trend yang melanda keseluruhan industri,” kata beliau.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita