Pembunuhan Kovan: Bekas pegawai polis yang dihukum mati gagal dalam rayuan
Pembunuhan Kovan: Bekas pegawai polis yang dihukum mati gagal dalam rayuan agar peguambelanya disiasat tribunal disiplin.

Iskandar Rahmat, bekas pegawai polis yang membunuh pemilik bengkel kereta dan anaknya pada 10 Julai 2013. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Bekas pegawai polis, Iskandar Rahmat, yang dihukum mati bagi pembunuhan berganda di Kovan pada 2013, gagal dalam rayuannya agar pasukan peguambelanya disiasat kerana salah laku.
Tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Isnin (5 Jul) menolak dakwaan Iskandar, 42 tahun, dengan mengatakan tiada asas membuat rayuan itu.
Panel Hakim terdiri daripada Hakim Besar Sundaresh Menon, Hakim Judith Prakash dan Hakim Quentin Loh.
Mahkamah Rayuan sebelum ini sudah menolak rayuan Iskandar terhadap sabitan serta hukumannya.
Presiden Halimah Yacob kemudian turut menolak rayuan permohanan pengampunannya.
Perbicaraan pada Isnin dengan peguam barunya, M Ravi, diadakan setelah Iskandar, yang merupakan seorang bekas pegawai siasatan, gagal meyakinkan Mahkamah Tinggi pada 2019 untuk menyemak semula satu keputusan oleh Persatuan Undang-undang Singapura (LawSoc).
Ketika itu dia tidak diwakili peguam dan, Iskandar mengemukakan aduan terhadap enam peguam yang membelanya dalam perbicaraan kes pembunuhan tersebut.
Iskandar mendakwa mereka harus disiasat secara rasmi oleh tribunal disiplin kerana salah laku.
Pasukan peguambelanya itu terdiri daripada Encik Shashi Nathan, Cik Tania Chin, Encik Jeremy Pereira, Profesor Madya Ferlin Jayatissa, Cik Sudha Nair dan Encik Rajan Supramaniam.
LawSoc bagaimanapun menolak aduannya setelah sebuah jawatankuasa siasatan mengambil keputusan bahawa siasatan rasmi tidak diperlukan.
Iskandar kemudian memfailkan semakan terhadap keputusan tersebut di bawah akta salah laku profesional yang ditolak hakim Mahkamah Tinggi Valerie Thean pada Oktober 2019.
Pada Isnin, peguam Iskandar, Encik M Ravi, menyebut semula sembilan tuduhan ke atas pasukan peguambelanya. Tuduhan-tuduhan itu dibahagikan kepada tiga kategori luas: Pameran bukti, saksi dan arahan.
Iskandar mendakwa mereka gagal memberikannya set lengkap gambar di tempat kejadian, dan ahli keluarganya tidak dipanggil untuk memberi keterangan sewaktu perbicaraan bahawa dia bukan orang yang ganas.
Selepas sejam mendengar hujah Encik Ravi dan LawSoc, Mahkamah Rayuan menolak dakwaannya dan berkata sebab-sebab bertulis rayuan itu ditolak akan disiapkan tidak lama lagi.
Bagi cabaran perlembagaan yang dikemukakann Iskandar, Encik Ravi berkata ia akan dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada bulan Ogos.
Iskandar didapati bersalah di bawah Seksyen 300(a) Kanun Keseksaan kerana melakukan pembunuhan dengan niat membunuh. Kesalahan itu membawa hukuman mati mandatori.
APA YANG ISKANDAR LAKUKAN
Iskandar, yang bekerja sebagai pegawai polis selama 14 tahun, membunuh seorang pemilik bengkel kereta, 67 tahun dan anak lelakinya pada 10 Julai 2013.
Orang ramai menjadi saksi Iskandar mengheret Tan Chee Heong, 42 tahun sejauh 1 kilometer di bawah keretanya semasa melarikan diri dalam Toyota Camry di Upper Serangoon Road, dengan titisan darah di jalanan.
Kesan berdarah itu dijejak ke sebuah rumah di Hillside Drive, di mana mayat ayah Tan, Tan Boon Sin ditemui terbaring dengan 27 kesan tikaman. Iskandar ditangkap di Johor Baru, selepas operasi memburunya sepanjang 54 jam.
Dia sebelum itu membuat perancangan untuk mencuri daripada Encik Tan kerana tahu mangsa menyimpan wang tunai dalam peti simpanan.
Dia menjalankan rancangannya sehari sebelum tarikh akhir untuk membuat pembayaran S$50,000 bagi melunaskan hutang bank sebanyak S$65,000.
Dalam menjatuhkan hukuman pada 2015, Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Iskandar bahawa dia hanya berniat untuk mencuri dan lari tetapi terpaksa mempertahankan dirinya kerana Tan Boon Sin mengacukan pisau dan lelaki tua itu meninggal dunia akibat kecederaannya semasa pergelutan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.