Pembunuhan di Taman di Pesisiran: Lelaki tuntut dibicarakan
Seorang lelaki yang dituduh membunuh kekasihnya pada 2016 di Taman Di Pesisiran lalu menghumban dan membakar mayat mangsa di Lim Chu Kang, menuntut supaya dibicarakan hari ini (12 Mac).
Leslie Khoo Kwee Hock di luar mahkamah pada 21 Jul 2016. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang dituduh membunuh kekasihnya pada 2016 di Taman Di Pesisiran lalu menghumban dan membakar mayat mangsa di Lim Chu Kang, menuntut supaya dibicarakan hari ini (12 Mac).
Leslie Khoo Kwee Hock, 50 tahun, berdepan dengan satu tuduhan membunuh kerana mencekik jurutera berusia 31 tahun, Cui Yajie pada 12 Jul 2016 di tempat duduk depan sebuah kereta di tempat terpencil.
Khoo menjalin hubungan dengan mangsa selama setahun. Dia dipercayai membunuh kekasihnya kerana mangsa mengancam untuk mendedahkan hubungan sulit dan skim pelaburan palsu. Khoo disyaki bimbang tindakan mangsa akan menjejas kerjaya dan rumahtangganya.
Menurut pihak pendakwa, Khoo dipercayai menurunkan tempat duduk mangsa selepas mencekiknya, lalu menutup mayat dengan beg-beg pakaian.
Dalam kenyataan pembukaannya, pihak pendakwa menyatakan Khoo selanjutnya membeli arang dan minyak tanah dari dua kedai berasingan di Kranji Road. Selepas itu, dia membakar mayat Cik Cui di bawah kanopi di Lim Chu Kang.
Khoo beberapa kali kembali ke tempat kejadian antara 12 dengan 14 Jul untuk menambah arang dan minyak tanah bagi "memastikan mayat mangsa benar-benar hangus," kata pendakwa.
"Pada satu masa, dia mengheret badan yang sudah separuh rentung ke dalam longkang bagi memastikan mayat itu tidak di kelihatan ramai," kata Timbalan Pendakwa Raya Tan Wen Hsien, Sarah Shi dan Stephanie Koh.
"Menurut pengakuan tertuduh, jika dia tidak mencekik mangsa sampai mati, dia akan membunuhnya dengan membakar mangsa hidup-hidup."
Dua hari selepas Cik Chui dipercayai dibunuh, rakan kerjanya dari syarikat MediaTek, Chong Hwee Nee membuat laporan polis Chi Chui hilang dan tidak masuk ke pejabat sejak 11 Jul.
Dalam keterangannya sebagai saksi di mahkamah, Cik Chong, seorang eksekutif sumber manusia (HR) berkata penyelia Cik Cui menelefon HR dan memberitahu mangsa tidak melaporkan dirinya selama dua hari tanpa membuat permohonan cuti.
"Kami ke rumahnya dan mengetuk pintu tetapi tiada yang menjawab. Kami segera membuat aduan polis," kata Cik Chong.
Polis kemudian ke flat Cik Cui dan mengesahkan bahawa mangsa hilang sebelum mula menjalankan siasatan dan mendapati bahawa Khoo orang terakhir yang berhubungan dengan Cik Cui.
Khoo diberkas pada 20 Jul. Saki-baki mayat Cik Cui ditemui dekat jalan terpencil di Lim Chu Kang Lane 8, berdekatan beberapa ladang tenusu.
Meskipun mayatnya tidak ditemui, terdapat bukti mencukupi bahawa beliau dibakar di sana. Sisa-sisa arang juga ditemui di tempat di mana Khoo mendakwa membakar mayat mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.