Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembukaan Stesen MRT Punggol Coast ditangguhkan sehingga 2024

Pembukaan stesen MRT baru di Daerah Digital Punggol yang bakal dibina, ditangguhkan selama setahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembukaan Stesen MRT Punggol Coast ditangguhkan sehingga 2024

Stesen MRT Punggol Coast dijangka siap pada 2024. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 13 Nov 2020 03:45PM Dikemas Kini : 13 Nov 2020 03:51PM

SINGAPURA: Pembukaan stesen MRT baru di Daerah Digital Punggol yang bakal dibina, ditangguhkan selama setahun.

Stesen Punggol Coast di Laluan Timur Laut sebelumnya dijadual mula beroperasi pada 2023, tetapi ia kini akan dibuka setahun kemudian, iaitu pada 2024.

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Jumaat (13 Nov) mengumumkan tarikh baru bagi pembukaan stesen tersebut di sebuah acara yang diadakan sempena berakhirnya kerja-kerja pembinaan terowong bagi stesen Punggol Coast.

"Langkah seterusnya adalah untuk menyelesaikan struktur konkrit stesen, sebelum kita membina stesen, dan selepas itu, barulah kami bersedia untuk (membukanya) kepada para penumpang menjelang 2024," katanya.

Encik Ong turut menjelaskan bahawa pandemik COVID-19 menyebabkan "beberapa kelengahan sementara" dalam rancangan memperluaskan rangkaian kereta api Singapura. Sungguhpun demikian, beliau menarik perhatian, Singapura masih menepati sasaran untuk mewujudkan laluan kereta api sepanjang 360 kilometer menjelang awal tahun 2030-an.

Beliau menambah, 40 peratus kerja-kerja membina stesen sudah selesai dijalankan.

Stesen baru itu - sebahagian daripada peluasan 1.6 kilometer Laluan Timur Laut - pada awalnya dijangka dibuka pada 2030. Pembukaannya bagaimanapun dipecepatkan selaras dengan pembangunan-pembangunan di kawasan tersebut.

Encik Ong menyebut pentingnya "hubung kait" stesen Punggol Coast dengan dua projek pembangunan akan datang - JTC Business Park di Daedah Digital Punggol, dan Institut Teknologi Singapura.

"Hanya apabila kita menyepadukan destinasi dan sinergi itu, barulah kita dapat mewujudkan peluang-peluang baru. Kami akan dapat menjana kuasa baru," katanya.

"PELUANG-PELUANG DALAM KRISIS"

Encik Ong turut bercakap tentang menggunakan pandemik COVID-19 untuk membawa perubahan pada kebiasaan melakukan perjalanan.

"Keupayaan merebut peluang dalam krisis adalah paparan terbaik ketangkasan (kita)," ujar Encik Ong.

"Kebiasaan lampau - menaiki pengangkutan awam pada sebelah pagi dan petang, waktu sibuk - tidak logik, selesa, cekap atau mesra alam."

Dengan jumlah penumpang kini sekitar 70 peratus berbanding sebelum COVID-19 melanda, Encik Ong menambah, jika jumlah penumpang kembali seperti biasa, waktu-waktu pengangkutan awam sesak akan kembali seperti biasa, dan "krisis ini akan sia-sia sahaja".

Beliau menggesa para majikan supaya menyesuaikan aturan pekerjaan, seperti memberi para pekerja pilihan untuk ke tempat kerja atau sebaliknya. Encik Ong selanjutnya berkata, ini akan membolehkan kebiasaan melakukan perjalanan berubah dan menjarakkan jumlah penumpang sepanjang hari.

"Inilah yang kita inginkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan