Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembukaan semula sempadan mungkin bawa ancaman pengganasan baru: Teo Chee Hean

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dunia mungkin berdepan dengan ancaman pengganasan baru yang boleh timbul dengan pembukaan semula sempadan. 

Lebih banyak perjalanan antarabangsa dijangkakan dan para pejuang asing kini boleh kembali ke tanah air atau pergi berperang di zon konflik. 

Di samping itu, peluang bagi melancarkan serangan secara sendirian juga akan bertambah. 

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean memberi gambaran itu di Retreat ke-17 Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) hari ini. (1 Jun).

KESAN COVID-19 PADA KEGIATAN PENGGANAS

Encik Teo menarik perhatian bahawa pandemik COVID-19 menyukarkan pengganas membuat persiapan dan melakukan serangan, terutamanya yang melibatkan perjalanan antara negara. 
 
Namun dengan lebih banyak masa yang diluangkan di ruang siber dan usaha penyebaran propaganda yang dipertingkatkan kumpulan pengganas sewaktu pandemik, terdapat banyak kes individu menjadi radikal secara sendiri. 

Keadaan lebih membimbangkan dengan pembukaan semula sempadan dan lebih banyak perjalanan merentas negara. 

Keadaan di Afghanistan yang dikuasai semula Taliban dan konflik di Ukraine juga membimbangkan dengan para pejuang asing boleh ke sana. 
 
"Dengan Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan, kumpulan pengganas seperti ISIS mengeksploitasi ketidakstabilan di sana. 

"Kami berharap agar Afghanistan tidak kembali menjadi tempat perlindungan para pengganas, seperti pada tahun-tahun 1990-an," kata beliau.

Bagi keadaan di Ukraine pula, Encik Teo menambah bahawa negara itu akan dibanjiri para pejuang asing dan senjata yang boleh melimpah ke negara dan kawasan lain. 

Beliau mengulangi pendirian Singapura dalam menentang ektremisme dan pengganasan. 

ANCAMAN PENGGANAS TERHADAP SINGAPURA 

Dalam pada itu, kumpulan sekutu Jemaah Islamiyah (JI) dan ISIS, kata beliau, sedang membina semula keupayaan mereka untuk melancarkan serangan. 

Di Singapura pula, masalah menjadi radikal secara sendiri terus menimbulkan satu ancaman pengganasan.

Beliau memberi contoh pengikut Abdul Somad berusia 17 tahun yang menjadi radikal dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim yang turut hadir di retreat tersebut berkata, "Kita sentiasa berwaspada dan rasa bimbang jika ada ancaman terhadap Singapura. Yang penting adalah bagaimana kita boleh menyediakan suasana yang selamat, kehidupan yang selamat. 

"Jadi, bagaimana badan-badan seperti RRG boleh meningkat kerelevanan mereka dan juga daya tahan mereka kerana kita lihat ini adalah usaha bersama masyarakat di Singapura dan juga masyarakat antarabangsa."

STRATEGI BARU TANGANI PENDEKATAN BARU PENGGANAS  

Demikian antara isu yang dibincangkan di Retreat RRG pada tahun ini yang bertemakan "Dunia pasca COVID-19: Kekal Relevan dan Berdaya Tahan”

Menurut Setiausaha RRG, Dr Mohamed Ali, golongan ekstremis telah mengubah strategi dengan memanfaatkan penggunaan media sosial.

"Kalau dulu zaman Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah media sosial belum wujud lagi, jadi ancaman yang datang dari mereka itu berbentuk fizikal. Hari ini, ancaman yang disebarkan secara online berbaur perkauman atau "hate speech", membangkitkan sentimen anti-agama dan untuk menyebarkan ideologi.

"Ideologi yang mengeksploitasikan agama untuk tujuan politik dan untuk menimbulkan rasa yang tidak baik di antara manusia, perkauman, benci membenci antara satu sama lain. Ini memberikan kesan pada kehidupan sosio-agama dalam konteks masyarakat Islam di Singapura," kata Dr Mohamed Ali.

RRG, tambah beliau, sedang melakar pelbagai strategi dalam usaha membanteras corak pengganas yang berubah-ubah.

Ini termasuk melancarkan pertandingan menerbitkan video bagi golongan belia untuk terus mendampingi mereka dan menentang ancaman online. 

(Gambar: Rosli A Razak)

Pertandingan itu dibuka kepada belia berumur 13 hingga 35 tahun. 

Para peserta secara individu atau kumpulan boleh menerbitkan video dalam kategori berikut: 

1. Dunia dalam konflik - melindungi Singapura. 

2. Naratif sosial/keagamaan untuk menentang ekstremisme/pengganasan 

3. Melindungi orang yang tercinta 

Video-video itu perlu dihantar sebelum 1 Disember dan lima pemenang akan dipilih dengan hadiah pertama bernilai $3,000. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan