Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembukaan semula China tidak mungkin cetus kesan besar kepada situasi COVID-19 SG, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Pembukaan semula China tidak mungkin cetus kesan besar kepada situasi COVID-19 SG, kata pakar

Para pelawat tiba di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 1 April 2022. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 05 Jan 2023 07:51PM Dikemas Kini : 05 Jan 2023 08:51PM


SINGAPURA: Pembukaan semula sempadan China tidak mungkin akan menyebabkan gelombang teruk jangkitan COVID-19 di Singapura, meskipun lebih ramai pelawat dari China dijangka akan mengunjungi negara ini.

Malah, jenis-jenis virus yang menular di China sudahpun dikesan di Singapura.

Demikian menurut Presiden Persatuan Antarabangsa bagi Penyakit Berjangkit Profesor Paul Tambyah.

"Ia tidak berkemungkinan mencetuskan lonjakan pada (jumlah) kes di Singapura yang dikaitkan dengan ketibaan para pelawat dari China," kata Profesor Tambyah kepada Mediacorp.

Sekalipun terdapat peningkatan pada bilangan kes jangkitan, Profesor Dale Fisher dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata penduduk Singapura sudah menerima perlindungan dalam bentuk kadar vaksinasi yang tinggi.

Mulai Ahad (8 Jan), China akan memansuhkan syarat kuarantin bagi para pelawat yang tiba di negara itu.

Langkah itu sekali gus meningkatkan minat untuk melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk ke Singapura.

Menyusuli pengumuman tersebut, beberapa negara di merata dunia menguatkuasakan sekatan terhadap para pelawat dari China, sedang negara tersebut menyaksikan lonjakan pada jumlah kes jangkitan COVID-19. Ini setelah Beijing melonggarkan dasar "sifar COVID-19".

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada 28 Dis lalu bahawa syarat-syarat dan peraturan-peraturan COVID-19 di Singapura bagi ketibaan para pelawat dan pemegang pas kerja dari China, kekal tidak berubah.

Buat masa ini, Singapura mensyaratkan para pelawat yang belum lengkap divaksin, berdasarkan takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk menjalani ujian sebelum melakukan perjalanan ke negara ini.

Para pelawat jangka pendek juga dikehendaki membeli insurans bagi perbelanjaan perubatan yang berkaitan dengan COVID-19.


VARIAN BARU

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Disember berkata bahawa pembukaan semula China akan mencetuskan beberapa ketidakpastian, dengan sebahagiannya mungkin disebabkan oleh mutasi sedang virus tersebut terus menular.

"Apa yang kita lebih bimbang adalah jenis mutasi yang mungkin muncul dari China. Itulah yang sedang dipantau," kata Encik Ong ketika itu, sebelum China mengumumkan bahawa ia akan memansuhkan syarat kuarantin.

Dr Chng Shih Kiat dari Raffles Medical berkata bahawa kemungkinan berlaku gelombang baru kes-kes COVID-19 sentiasa ada, terutama sekali sekiranya terdapat varian baru yang boleh menyerang sistem imuniti tubuh.

Namun, Prof Tambyah menarik perhatian bahawa varian baru berkemungkinan kurang serius, meskipun ia lebih mudah menular.

KAPASITI HOSPITAL

Prof Tambyah menambah bahawa penduduk Singapura dan sistem kesihatan di negara ini sudah bersiap siaga untuk berdepan dengan gelombang jangkitan COVID-19 yang berkemungkinan akan melanda.

Namun, beliau berpendapat bahawa para penduduk tidak sepatutnya memperlekehkan usaha untuk terus berwaspada.

Tambah beliau, "Situasi tersebut sentiasa dipantau dan jika keadaan berubah menjadi teruk, masyarakat sekali lagi diminta untuk bertindak balas."

Menurut Prof Fisher, dengan tahap vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk dan pelawat Singapura, tidak mungkin hospital-hospital tempatan akan terbeban.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL DAN VAKSINASI

Walaupun pembukaan semula China tidak mungkin mencetuskan gelombang baru jangkitan COVID-19 di Singapura, mereka yang tinggal di sini harus terus mengamalkan tahap kebersihan yang baik dan berjumpa doktor sekiranya tidak sihat, nasihat Prof Tambyah.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan