Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembukaan 2 poliklinik baru di Sembawang dan Khatib ditangguh setahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pembukaan dua poliklinik baru di Sembawang dan Yishun akan dilewatkan setahun, dengan beberapa projek jagaan kesihatan turut terjejas disebabkan gangguan rangkaian bekalan dan kekurangan tenaga kerja dalam sektor binaan.

Poliklinik Sembawang kini dijangka dibuka pada 2023, sementara Poliklinik Khatib akan dibuka pada 2024.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam jawapan bertulisnya pada Isnin (28 Nov) kepada soalan yang dikemukakan Anggota Parlimen (AP) Wan Rizal (PAP-Jalan Besar).
 
Pembangunan bersepadu bagi pembangunan semula Poliklinik Jurong dan rumah penjagaan baru akan dilewatkan dalam tempoh dua tahun sehingga 2027, tambah beliau.

Pembinaan bagi bangunan Pusat Kulit Nasional (NSC) dijadual selesai menjelang 2023 dan bukan 2022. NSC akan meneruskan perkhidmatannya dari pusat yang sedia ada sehingga bangunan baru itu siap dibina, kata Menteri Kesihatan itu.

Poliklinik Sembawang baru akan dibangunkan sebagai sebahagian daripada hab bersepadu Bukit Canberra. Terletak berdekatan dengan stesen MRT Sembawang, ia sepatutnya dibuka pada 2022.

Sementara itu, Poliklinik Khatib yang ditempatkan berdekatan dengan stesen MRT Khatib. Mantan AP Nee Soon Lee Bee Wah berkata pada 2019 bahawa poliklinik baru itu akan dibuka pada 2023, untuk menyediakan jagaan dengan lebih mudah bagi para penduduk.

Poliklinik Yishun merupakan satu-satunya poliklinik yang terdapat di kawasan tersebut. Menurut data terbaru Kementerian Kesihatan (MOH), Poliklinik Yishun mempunyai tempoh menunggu kedua tertinggi dalam September, dalam kalangan 23 poliklinik di Singapura.

Awal tahun ini, MOH mendedahkan rancangan kementerian itu untuk memperluaskan rangkaian poliklinik di Singapura kepada 32.

Pada 2019, MOH mengumumkan bahawa Poliklinik Jurong akan berpindah ke tapak baru, dan dijangka siap menjelang 2025.

Saiz tapak baru itu dijangka seganda lebih besar berbanding saiz poliklinik tersebut yang sedia ada. MOH menambah bahawa Poliklinik Jurong yang sedia ada akan terus beroperasi sehingga tapak baru itu sudah siap, bagi menghindari sebarang gangguan kepada perkhidmatan poliklinik tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan