Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembuat songkok terakhir S'pura kongsi ilmu dalam bengkel 'My Community Festival'

'My Community Festival' kembali lagi tahun ini dengan lebih banyak kegiatan berbanding edisi pertamanya tahun lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 'My Community Festival' kembali lagi tahun ini dengan lebih banyak kegiatan berbanding edisi pertamanya tahun lalu.

Dari lawatan berpandu ke pulau-pulau berdekatan hinggalah ke bengkel-bengkel seni, orang ramai boleh memilih antara 65 kegiatan yang tersedia di bawah 10 program utamanya.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dengan tema 'Everyday Places, Everyday Faces', edisi kedua festival ini bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang budaya atau kisah masyarakat yang jarang diketahui umum.

Festival ini diadakan sekali lagi setelah mendapat sambutan memberangsangkan bagi 46 kegiatannya tahun lalu.

Antara program baru yang diperkenalkan tahun ini ialah 'Cuba Gula-Gula Saya' di mana para peserta akan diperkenalkan dan boleh mempelajari cara-cara menyediakan makanan warisan seperti onde-onde dan kuih kaswi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Selain itu, para peserta juga boleh menghadiri bengkel-bengkel oleh tukang kraf tangan untuk mempelajari seni membuat sulaman manik Peranakan dan songkok.

BELAJAR JAHIT SONGKOK SEJAK 11 TAHUN

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Antara yang dijemput untuk mengendalikan bengkel tersebut adalah pembuat songkok terakhir di Singapura, Abdul Wahab Abdullah.

Dari usia 11 tahun lagi, Encik Abdul Wahab sudah mula belajar menjahit songkok dari bapanya.

Beliau kemudian membuka kedainya sendiri pada 1982 dan masih melangsungkan perniagaannya hingga ke hari ini.

Pada musim perayaan, kedainya di Tanjong Katong Complex ini menerima sekitar 1,000 tempahan songkok.

Pembuat songkok terakhir Singapura, Abdul Wahab Abdullah, kongsi ilmu dalam bengkel 'My Community Festival'. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Meskipun permintaannya tinggi, tidak ramai yang mahir akan seni itu sehingga menjadikan Encik Abdul Wahab pembuat songkok terakhir di Singapura.

Namun, walaupun tradisi membuat songkok dari tangan itu semakin berkurangan di Singapura, Encik Abdul Wahab yang berusia 61 tahun itu masih gigih meneruskan seni kraf tangannya.

"Yang menjadi motivasi ialah Arwah bapa saya. Dia yang banyak mendorong saya belajar menjahit sehinggakan saya boleh menjahit sebegitu cantik," kongsi Encik Abdul Wahab.

Malah sebelum itu Encik Abdul Wahab memang sudah lama menanam hasrat untuk mengambil alih perniagaan bapanya untuk meneruskan tradisi keluarga.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Melihat kepuasan yang dirasakan oleh para pelanggannya apabila memakai songkok yang dijahitnya sendiri, ia bagai menyuntik semangat kepada beliau untuk terus kekal dalam bidang ini.

INGIN TURUNKAN KEMAHIRAN KEPADA GENERASI MUDA

Kini, Encik Abdul Wahab mahu kemahirannya itu diturunkan kepada generasi muda, termasuk anak-anaknya sendiri.

"Saya sudah mendidik ketiga-tiga anak saya semasa mereka kecil lagi. Mudah-mudahan mereka akan mengambil alih daripada saya pada masa akan datang, Insya-Allah," ujar Encik Abdul Wahab.

Apabila ditanya sama ada ada anak muda di luar sana yang berminat untuk mempelajari seni ini daripada beliau, ini jawapannya:

"Sejauh ini, tidak ada tetapi insya-Allah dengan bengkel yang akan datang ini, kalau mereka berminat, mereka boleh menyertainya."

Bagi Encik Abdul Wahab, beliau memang amat mengalu-alukan sesi bengkel seperti yang akan diadakan oleh My Community.

"Kita mesti adakan kelas kraf tangan bukan sahaja buat songkok tetapi yang lain-lain juga untuk menarik minat generasi muda ini," kongsi Encik Abdul Wahab.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Empat sesi bengkel membuat songkok oleh Encik Abdul Wahab akan diadakan di Wisma Geylang Serai.

Orang ramai boleh dapatkan tiket-tiket dan lebih banyak butiran mengenai bengkel dan kegiatan festival 'My Community' di laman ini

Edisi tahun ini akan berlangsung dari 10 September hingga 3 Oktober. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan