Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembuat biskut kurang daya intelektual ini sumbang 100% jualan biskut hasil air tangan sendiri

Di sebalik kesukaran yang sedang dihadapi Singapura angkara COVID-19, ada kemanisannya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Di sebalik kesukaran yang sedang dihadapi Singapura angkara COVID-19, ada kemanisannya.

Dalam sebuah dapur kecil di Margaret Drive, lapan pembuat biskut bertungkus-lumus membuat biskut 'red velvet'. Bukan untuk meraih keuntungan tetapi sebaliknya untuk mengumpul dana bagi orang-orang susah.

Lebih manis lagi, semua pembuat biskut tersebut adalah insan istimewa. Mereka kurang daya intelektual.

Dalam waktu sangat singkat, sekali 100 botol berjaya disiapkan dan habis dijual pada harga S$20 setiap satu. 100 peratus hasil penjualan disalurkan kepada 27 Pertubuhan Khidmat Sosial di bawah Cabaran Presiden.

NORIZAM FAHAM BISKUTNYA UNTUK BANTU ORANG

Inisiatif ini sebenarnya hasil kerjasama antara Gerakan Bagi Golongan Kurang Upaya Intelektual (MINDS) dengan Families for Life. Ini juga kali pertama MINDS mengajak para pembuat biskutnya untuk mengumpul dana.

Salah seorang daripada pembuat biskut MINDS yang berbesar hati dapat menyertai usaha murni ini adalah Encik Norizam Noordin, 22 tahun.

Perjuangannya untuk masuk dapur MINDS Bakers tidak mudah. Berbulan-bulan diluangkan untuk mempersiapkan diri sebelum mengambil ujian kursus Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ).

Kini sudah dua tahun beliau membakar biskut dalam perusahaan sosial itu dan peluang terbaru mengajarnya pengertian membantu mereka yang memerlukan.

Dalam setiap langkahnya menghasilkan biskut 'red velvet', jurulatih beliau memberitahu tujuan biskut-biskut itu dihasilkan sehinggakan ketika ditanya BERITAmediacorp apakah perasaannya dapat menyertai usaha ini, Encik Norizam langsung menjawab:

"Saya bangga. Saya nak tolong orang-orang susah. Saya harapkan mereka gembira." 

BELAJAR RESIPI BARU DALAM KURANG SEMINGGU

Hakikatnya, setiap usaha pasti ada cabarannya.

Bagi MINDS Bakers yang mempunyai lebih 20 pembuat biskut, mereka harus segera membuat penyesuaian baru selepas 'circuit breaker'. Misalnya, operasi diteruskan dengan separuh tenaga kerja sahaja sementara langkah jarak selamat perlu terus dijaga dalam dapur.

Tidak lama selepas kembali beroperasi pula, MINDS Bakers diajak menyertai acara amal ini. Mereka diperlukan membuat biskut bertemakan warna putih dan merah dalam tempoh kurang sebulan.

Semua itu bagaimanapun tidak dilihat sebagai satu hambatan. Malah, pembuat-pembuat biskut bersemangat untuk menyertai acara tersebut.

"Secara semula jadi, dengan tema merah dengan putih, ia berkaitan dengan Hari Kebangsaan. Jadi mereka berasa gembira. Apabila kami memberitahu mereka ini untuk Cabaran Presiden dan dana untuk bantu-bantu orang susah, mereka langsung gembira," kata jurulatih MINDS Bakers, Encik Mohamed Rohaizat Amat.

Beliau menambah, cara membuat biskut 'red velvet' juga cepat dipelajari anak-anak didiknya. Dalam tempoh seminggu, semuanya cekap membuat biskut tanpa memerlukan pertolongan.

USAHA YANG BERMAKNA BAGI SI PEMBUAT BISKUT

Siapa sangka, air tangan pembuat biskut istimewa itu akhirnya berjaya menyumbang S$2,000. Jumlah itu akan membantu golongan memerlukan di dalam senarai Cabaran Presiden, seperti warga emas, bekas banduan, kanak-kanak dan keluarga serta mereka yang kurang upaya.

Namun, nilai yang dipelajari si pemberi lebih besar pengertiannya.

"Dalam latihan, kita selalu terapkan, apa yang mereka buat itu, harus dibanggakan. Walaupun sedikit sumbangannya, kita mahu (mereka tahu) ini rekaan mereka. Kita mahu mereka bangga. Bangga dan tunjukkan ini yang mereka boleh usahakan sendiri, boleh sumbangkan kepada masyarakat," kata Encik Rohaizat. 

Sebagai jurulatih yang mendidik mereka, Encik Rohaizat juga menaruh sekelumit harapan.

"Kita selalu cakap tentang masyarakat inklusif. Saya ingin mereka diberi peluang, buktikan mereka ada potensi dan bakat untuk menyumbang kepada masyarakat dan keluarga," ujarnya.

"Dan kepada ibu bapa, saya harap mereka tampil ke depan sambil mengatakan anak-anak istimewa mereka ini ada kebolehan. Sangat istimewa dan boleh menyumbang untuk masyarakat dan keluarga."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan