Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembocoran data Mobile Guardian: Butiran peribadi ibu bapa, kakitangan 127 sekolah SG terjejas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Apr 2024 11:09AM Dikemas Kini : 21 Apr 2024 12:10AM
SINGAPURA: Pembocoran data salah satu vendor menyebabkan akses kepada nama dan alamat emel ibu bapa dan kaki tangan lima sekolah rendah dan 122 sekolah menengah tempatan yang tidak dibenarkan, dedah Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (19 Apr).

MOE menyatakan ia dimaklumkan oleh Mobile Guardian bahawa portal pengurusan penggunanya dipecah masuk pada Rabu (17 Apr). Kejadian tersebut berlaku di ibu pejabat syarikat tersebut, di Surrey, United Kingdom.

Mobile Guardian adalah aplikasi pengurusan alat peranti dimuat turun pada alat pembelajaran peribadi digunakan pelajar, seperti iPad dan Google Chromebook. Aplikasi itu membenarkan ibu bapa menguruskan penggunaan alat pelajar dengan mengehadkan aplikasi, laman web atau masa diluangkan di hadapan skrin.

MOE menambah bahawa aplikasi pengurusan alat perantinya tidak terjejas daripada pembocoran data tersebut, kerana ia berbeza dengan portal pengurusan pengguna Mobile Guardian dan "selamat untuk digunakan".

"Tiada bukti berlakunya akses tanpa kebenaran kepada DMA MOE. Ibu bapa pelajar yang menggunakan iPad atau Chromebook boleh terus menggunakan portal DMA seperti biasa," umum MOE.

MOE serta sekolah yang terbabit akan memaklumkan ibu bapa dan guru yang terjejas dengan insiden pelanggaran data itu.

MOE juga menasihatkan mereka untuk kekal waspada terhadap sebarang emel pemancingan yang dihantar kepada mereka.

Kementerian itu meluahkan kebimbangannya kepada Mobile Guardian dan laporan polis sudah dibuat.

Sebagai tindak balas kepada insiden itu, Mobile Guardian melaksanakan langkah keselamatan tambahan, seperti mengunci semua akaun pentadbiran.

Syarikat perisian pengurusan peranti mudah alih tersebut juga bekerjasama dengan pakar keselamatan teknologi maklumat untuk menentukan bagaimana pelanggaran data itu berlaku.

Mobile Guardian dilantik sebagai vendor perkhidmatan pengurusan peranti mudah alih rasmi MOE pada November 2020.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan