Pembocoran data HIV: Mikhy Brochez mengaku ugut Pemerintah S’pura
Lelaki rakyat Amerika Syarikat yang dituduh membocorkan maklumat peribadi beribu-ribu orang daripada daftar HIV Singapura mengugut Pemerintah bahawa dia akan mendedahkan maklumat itu kepada orang ramai jika pasangannya tidak dibebaskan.
Mikhy Farrera Brochez di Mahkamah Daerah Clark County. (Gambar: Chris Kenning)
SINGAPURA: Lelaki rakyat Amerika Syarikat yang dituduh membocorkan maklumat peribadi beribu-ribu orang daripada daftar HIV Singapura mengugut Pemerintah bahawa dia akan mendedahkan maklumat itu kepada orang ramai jika pasangannya tidak dibebaskan.
Dalam afidavit yang difailkan oleh Ejen Khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Chelsea Holliday pada 22 Februari, Mikhy Farrera-Brochez mengaku bahawa dia "memiliki pangkalan data dari Singapura" itu dan membawanya ke Amerika Syarikat.
Brochez berkata dia akan menyerahkan pangkalan data itu kepada FBI jika ia dapat "meyakinkan Pemerintah Singapura untuk membebaskan pasangannya," Ler Teck Siang.
"Bagaimanapun jika Pemerintah Singapura tidak menbebaskan Siang (Ler), dia akan mendedahkan pangkalan data itu kepada orang awam," kata Cik Holliday dalam laporan rasminya, yang dilihat oleh Mediacorp.
Cik Holliday juga berkata, Brochez memberitahunya bahawa dia akan "bunuh diri" sebelum dia menyerahkan pangkalan data tersebut.
Sebelum ini, Brochez didakwa di Amerika Syarikat kerana memindahkan secara haram dokumen-dokumen pengenalan diri yang dicuri serta memiliki dengan niat untuk mengedarkan dokumen-dokumen tersebut.
Brochez dipercayai mengirimkan emel yang mengandungi pautan-pautan daripada pangakalan data perubatan kepada beberapa syarikat media, termasuk Alvinology, Mothership, Straits Times dan CNN, dari Jun 2018 sehingga seawal Januari 2019 ketika menetap di Kentucky, Amerika Syarikat.
ANCAMAN-ANCAMAN
Dalam afidavit itu, Cik Holliday berkata FBI pertama kali mendapat tahu mengenai Brochez apabila dia menulis kepada pihaknya menerusi laman pihak berkuasa itu pada November lalu.
Brochez turut mendakwa bahawa Ler "mengahwininya dengan penuh kepura-puraan" dan mendakwa dia salah dipenjarakan di Singapura.
Dua ejen dari FBI, termasuk Cik Holliday, kemudian bertemu dengan Brochez.
"Brochez kemudian menuduh Pemerintah Singapura menculik, menipu, memalsukan dokumen, salah mempenjarakannya, serta menyamar sebagai para pegawai polis dan membiarkan Brochez dirogol semasa menjalani hukuman penjara," kata Cik Holliday.
"Brochez mendakwa dia tidak dijangkiti HIV semasa dipenjarakan di Singapura, namun hanya dijangkiti penyakit itu ketika di sana."
"Brochez bagaimanapun tidak dapat memberikan bukti atau saksi bagi sebarang dakwaan yang dibuatnya."
Cik Holliday menambah: "(Ejen FBI James) Huggins dan saya menasihatinya supaya menghubungi saya jika dia boleh memberikan bukti."
"Kami menerangkan kepadanya bahawa FBI tidak boleh melancarkan siasatan terhadap pemerintah asing berdasarkan kata-katanya sendiri dan selain itu, ia juga mungkin di luar bidang kuasa negara itu.
Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini menolak "dakwaan-dakwaan yang tidak berasas itu" dan menyifatkan Brochez sebagai "seseorang yang suka berbohong".
FBI dimaklumkan mengenai pembocoran data daripada daftar HIV Singapura pada Februari 2019.
KURANG SIHAT DARI SEGI MENTAL
Pada 19 Februari, Cik Holliday cuba meminta Brochez supaya menghadiri satu temu bual, namun dia enggan berbuat demikian dan sebaliknya mendakwa FBI sedang cuba untuk memerangkapnya supaya dia diberkas oleh Pemerintah Singapura.
Dua hari kemudian, ejen itu bertemu dengan ibu Brochez, Teresa King. Brochez tinggal bersama ibunya sejak dia dibebaskan dari penjara Singapura.
"Cik King memberitahu bahawa anak lelakinya mengalami masalah kesihatan mental dan beliau amat takut dengannya," kata Cik Holliday.
Beliau juga memberitahu FBI bahawa anak lelakinya menghantar kiriman emel yang mengandungi pautan bagi pangkalan data yang dicuri itu. Beliau bagaimanapun menghapuskan emel itu kerana enggan memilikinya.
"King juga menerangkan bahawa Brochez mengaku kepadanya bahawa dia menghantar kiriman emel yang mengandungi pautan emel bagi pangkalan data itu kepada Mahkamah Tinggi di Singapura serta para diplomat rakyat Singapura," menurut afidavit itu.
Pada hari yang sama, FBI mendapati bahawa Brochez mungkin berada di Jackson, Kentucky dan dia kemudian ditahan serta disoal siasat oleh FBI.
Brochez dikehendaki kerana membocorkan data, yang mengandungi maklumat 5,400 rakyat Singapura yang didiagnosis HIV dari 1985 hingga Januari 2013. Ia juga termasuk maklumat 8,800 warga asing, termasuk para pemohon dan pemegang pas pekerja dan lawatan yang didiagnosis HIV dari 1985 hingga Disember 2011.
Brochez akan dihadapkan ke mahkamah di Kentucky pada 27 Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.