Skip to main content

Singapura

Pembocoran data HIV: Mikhy Brochez diarah kekal di penjara AS sebelum pendakwaan

Seorang hakim Amerika Syarikat mengarahkan Mikhy Farrera-Brochez supaya kekal dalam penjara sedang Juri Utama memutuskan untuk mendakwanya atas tuduhan-tuduhan persekutuan. Antara dakwaan yang dipertimbangkan termasuk pemerasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembocoran data HIV: Mikhy Brochez diarah kekal di penjara AS sebelum pendakwaan

Mikhy hadir di mahkamah bagi kes yang mana dia dikenakan tuduhan menceroboh. (Gambar: Chris Kenning)

Diterbitkan : 28 Feb 2019 09:56AM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 09:57AM

LEXINGTON: Seorang hakim Amerika Syarikat mengarahkan Mikhy Farrera-Brochez - lelaki yang dituduh membocorkan maklumat peribadi ribuan orang dari daftar HIV Singapura - supaya kekal dalam penjara sedang Juri Utama memutuskan untuk mendakwanya atas tuduhan-tuduhan persekutuan. Antara dakwaan yang dipertimbangkan termasuk pemerasan.

Brochez, 34 tahun, hadir di mahkamah federal di Lexington, Kentucky, pada Rabu (27 Feb). Tangannya digari dan dia memakai pakaian penjara berwarna kuning.

Brochez diberkas dan dipenjara pada minggu lalu atas tuduhan mencuri dokumen-dokumen pengenalan dan berniat mengedarkannya.

Pada Rabu, FBI memfailkan dua tuduhan tambahan pemerasan dan berkongsi data yang dicuri dengan pihak lain secara haram. Brochez boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atas dakwaan-dakwaan itu. Namun, pihak pendakwa boleh meminta hukuman lebih berat ke atasnya.

Majistret Amerika Matthew Stinnett mendapati alasan munasabah untuk membawa kes kepada juri utama federal, yang memerlukan beberapa minggu atau lebih lama bagi memutuskan untuk mendakwa Brochez atas dakwaan-dakwaan tersebut.

Brochez kekal di bawah tahanan Marsyal Amerika Syarikat di Pusat Tahanan Daerah Fayette, tetapi peguam belanya mengatakan bahawa mereka mungkin akan membuat rayuan supaya Brochez tidak ditahan.

Singapura menuduh Brochez membocorkan data 14,200 orang yang dijangkiti HIV. Dia bekerja sebagai seorang pensyarah sebelum dipenjara atas kesalahan-kesalahan dadah dan menipu berhubung tindakannya yang memalsukan ujian HIV untuk mendapatkan permit kerja.

Brochez dihantar pulang ke negara asalnya pada tahun lalu.

Sebaik sahaja mendapat tahu kemungkinan dirinya dipenjarakan di Amerika, Brochez memberitahu hakim bahawa "pemerintah Amerika Syarikat tidak berhak menentukan hala tuju kehidupan rakyatnya" sambil menukil masalah-masalah yang membelenggu negara itu.

Dia tidak membuat pengakuan tidak bersalah tetapi peguamnya, Jay Oakley menegaskan bahawa anak guamnya tidak bersalah. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita