Pembinaan terowong MRT CRL di bawah kawasan simpanan 'boleh dilaksanakan'
Pembinaan terowong kereta api paling dalam di Singapura di bawah kawasan simpanan semula jadi sebagai sebahagian daripada Laluan Rentas Pulau (CRL), secara teknikal "boleh dilaksanakan".
SINGAPURA: Pembinaan terowong kereta api paling dalam di Singapura di bawah kawasan simpanan semula jadi sebagai sebahagian daripada Laluan Rentas Pulau (CRL), secara teknikal "boleh dilaksanakan".
Kesan terhadap sekitaran juga boleh dikawal dengan sewajarnya.
Demikian menurut laporan penilaian kesan sekitaran yang diminta Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Ia turut mengkaji satu lagi pilihan untuk mengelakkan kawasan simpanan tersebut.
Satu pilihan adalah untuk membangunkan terowong sedalam 70 meter di bawah kawasan simpanan semula jadi.
Dengan kedalaman itu juga, kerja-kerja penggalian granit perlu dijalankan iaitu lebih keras berbanding konkrit.
Kehidupan semula jadi di atas tanah bagaimanapun tidak terjejas kerana gegaran tidak akan dirasai tetapi kedalaman sebegitu bererti kehilangan tanaman dan juga sumber habitat.
Satu lagi alternatif adalah pilihan untuk membangunkan laluan tersebut di sekeliling kawasan simpanan dengan kedalaman terowong 45 meter.
Pilihan tersebut tidak akan menjejas kehidupan semula jadi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun perjalanan CRL akan menjadi sejauh 9 kilometer dengan tambahan sekitar 6 minit kepada masa perjalanan. Perbelanjaan tambahan pula bernilai antara S$1 bilion hingga S$2 bilion.
CRL, laluan MRT bawah tanah sepenuhnya sepanjang kira-kira 50 kilometer dengan sekitar 30 stesen merentasi Jurong ke Changi, dijangka dibuka pada 2030. Para penumpang dijangka membuat sekurang-kurangnya 600,000 perjalanan setiap hari menggunakan CRL, lebih kerap berbanding Laluan Timur Laut (NEL) sedia ada.
Laluan CRL juga akan menghubungkan laluan MRT sedia ada dengan hampir separuh daripada stesennya menjadi stesen pertukaran laluan MRT.
Ia merupakan sebahagian daripada rancangan untuk meluaskan rangkaian rel Singapura dengan hampir seganda menjelang 2030 dan meletakkan stesen kereta api dalam jarak 10 minit berjalan kaki kepada 80 peratus penduduk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.