Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembinaan Stesen MRT Pasir Ris East di Laluan CRL dijadual mula suku kedua 2022

Kerja-kerja binaan bagi Stesen MRT Pasir Ris East di Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (7 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kerja-kerja binaan bagi Stesen MRT Pasir Ris East di Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (7 Feb).

Khidmat penumpang di stesen itu dijadual bermula pada 2030.

Sebaik sahaja stesen baru itu mula beroperasi, tempoh perjalanan dari Stesen Pasir Ris East ke Ang Mo Kio dijangka mengambil masa sekitar 25 minit berbanding 60 minit sekarang, menurut LTA.

Para penumpang yang melakukan perjalanan dari Stesen Pasir Ris East ke Bright Hill akan dapat menjimatkan masa perjalanan sebanyak 50 minit, dengan tempoh perjalanan yang kini 80 minit dapat disingkatkan kepada sekitar 30 minit.

KERJA-KERJA BINAAN

Kontrak bagi reka bentuk dan pembinaan Stesen Pasir Ris East diberikan kepada Singapore Engineering & Construction dan Sinohydro dalam satu usaha sama bernilai S$363 juta, menurut LTA.

Projek-projek kendalian Singapore Engineering & Construction sebelum ini termasuk pembinaan Bangunan Kemudahan Tai Seng yang menyediakan khidmat kepada Laluan Downtown dan peluasan Jejambat Keppel.

Sinohydro, sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan tenaga hidro, kini sedang membina stesen-stesen Napier dan Marina South bagi Laluan Thomson-East Coast.

Stesen Pasir Ris East ditempatkan di Pasir Ris Drive 1 dan dikelilingi blok-blok perumahan.

"Bagi mengurangkan kesan terhadap para penduduk dan pengguna jalan raya, lencongan trafik dan perbekalan perlu dilaksanakan secara bertahap-tahap bagi memudahkan kerja-kerja binaan," menurut LTA.

Langkah-langkah keselamatan akan diambil semasa menstabilkan struktur dan menjalankan kerja-kerja penggalian, yang dijangka sedalam 25 meter untuk memastikan kestabilan tanah dan struktur-struktur sekeliling.

"LTA dan pihak kontrakor akan memantau dengan teliti kerja-kerja tersebut untuk memastikan ia dijalankan dengan selamat dengan kesan minimum terhadap pihak berkepentingan yang terletak berdekatan," menurut LTA.

FASA 1 LALUAN RENTAS PULAU

CRL merupakan laluan MRT yang kelapan di Singapura dan ia akan menyediakan khidmat kepada pembangunan sedia ada dan yang akan datang di koridor bahagian timur, timur laut dan barat, menghubungkan hab-hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.

Hampir separuh stesen dalam fasa pertama CRL (CRL1) akan dijadikan sebagai pusat pertukaran kereta api dengan laluan rel yang lain.

CRL1 sepanjang 29 kilometer dan mempunyai 12 stesen dari Aviation Park sehingga ke Bright Hill. Ia akan menyediakan khidmat kereta api bagi kawasan perumahan dan perindustrian di Loyang, Tampines, Pasir Ris, Defu, Hougang, Serangoon North dan Ang Mo Kio dan ia akan memanfaatkan lebih 100,000 isi rumah, menurut LTA.

Kajian berhubung butiran fasa-fasa CRL selanjutnya masih dijalankan, menurut LTA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan