Pembinaan loji baru NEWater bernilai $230 juta di Changi dijangka bermula pada 2022
Pembinaan sebuah loji NEWater yang baru sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan jaminan bekalan air Singapura dengan mengitar semula air yang digunakan.
(Gambar: PUB)
SINGAPURA: Pembinaan sebuah loji NEWater yang baru sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan jaminan bekalan air Singapura dengan mengitar semula air yang digunakan.
Agensi air kebangsaan (PUB) akan membangunkan sebuah loji NEWater bernilai S$230 juta di Changi, dengan agensi itu mengeluarkan tender bagi memperolehi khidmat kejuruteraan profesional pada Julai.
Kerja binaan dijangka bermula pada 2022 dan loji itu akan mengambil masa sekitar dua tahun untuk siap, menurut PUB.
Menurut dokumen tender yang dilihat oleh Mediacorp, loji terbaru itu akan menggantikan kemudahan sedia ada di Bedok, iaitu salah satu loji NEWater tertua di Singapura. Dengan keupayaan menjana 50 juta gelen air sehari, loji baru itu boleh membekalkan hampir tiga kali ganda jumlah NEWater di loji Bedok.
Seperti dua loji NEWater sedia ada di Changi, loji baru itu akan dibina pada bumbung modul cecair baru bagi menggunakan ruang tanah dengan sebaik-baiknya, menurut PUB.
Loji Penambakan Air Changi sedang menjalani kerja-kerja perluasan. Dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp, PUB menyatakan kerja-kerja perluasan itu tertangguh kerana kekangan di tapak kerja dan pandemik COVID-19, namun ia menambah bahawa kerja-kerja perluasan itu menepati jadual untuk diselesaikan menjelang 2022.
Tender bagi projek itu ditutup pada 10 Sep.
Kemudahan baru itu, bersama loji-loji NEWater sedia ada, akan menghasilkan bekalan air yang mencukupi untuk memenuhi separuh daripada permintaan bekalan air di Singapura sekarang, iaitu 430 juta gelen sehari. Ia adalah satu peningkatan daripada sekitar 40 peratus sekarang.
PUB menyatakan sebelum ini bahawa satu lagi kemudahan baru di Tuas akan siap dibina pada 2025.
Keperluan bekalan air Singapura dijangka meningkat kepada dua kali ganda dalam masa sekitar 40 tahun.. Sasarannya adalah bagi NEWater memenuhi 55 peratus daripada permintaan tersebut. Bekalan air diimport kini memenuhi kira-kira separuh daripada keperluan Singapura.
Singapura juga sedang meningkatkan bekalan air menerusi penyulingan. Loji penyulingan keempat Singapura yang terletak di Marina East memulakan operasi komersil dari 29 Jun, menurut PUB sebelum ini.
Ia adalah kemudahan berskala besar yang pertama di Singapura yang boleh merawat bekalan air laut dan air tawar. Empat loji penyulingan itu juga mempunyai keupayaan keseluruhan sehingga 160 juta gelen air sehari.
"Bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin bertambah dan menangani kesan perubahan iklim, kami terus menambah bekalan air kami dengan sumber tahan cuaca, khususnya NEWater dan air sulingan," menurut PUB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.