Pembinaan jejambat Koridor Utara-Selatan bakal bermula suku pertama 2020
Kerja-kerja pembinaan di bahagian jejambat Koridor Utara-Selatan (NSC) antara Sungei Seletar dengan Admiralty West Road dijadual bermula pada suku pertama 2020 setelah tiga kontrak awam terakhir dianugerahkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Lakaran artis bagi lorong Koridor Utara-Selatan di sepanjang Ang Mo Kio Avenue 6. (Gambar: LTA)
SINGAPURA: Kerja-kerja pembinaan di bahagian jejambat Koridor Utara-Selatan (NSC) antara Sungei Seletar dengan Admiralty West Road dijadual bermula pada suku pertama 2020 setelah tiga kontrak awam terakhir dianugerahkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Kontrak-kontrak itu bernilai S$954.1 juta secara keseluruhan, menurut LTA dalam satu kenyataan media pada Isnin (16 Dis). Dengan itu, tambahnya kesemua 14 kontrak awam untuk membina NSC sudahpun dianugerahkan.
Peta lokasi bagi bahagian lorong Koridor Utara-Selatan antara Sungei Seletar dengan Admiralty Road West. (Gambar: LTA)
NSC sepanjang 21.5 kilometer akan menghubungkan bahagian-bahagian Utara dan Tengah Singapura, lantas memudahkan pemandu bergerak antara kawasan pusat bandar dengan bandar-bandar termasuk Woodlands, Sembawang, Yishun, Ang Mo Kio, Bishan dan Toa Payoh.
Ia akan merentasi beberapa ekspreswe termasuk Ekspreswe Seletar (SLE), Ekpreswe Rentas Pulau (PIE) dan East Coast Parkway (ECP).
Dijangka siap dibina selewat-lewatnya pada 2026, NSC juga akan menyediakan laluan bas dan laluan berbasikal.
Menurut LTA, laluan bas berterusan yang dibina, memendekkan masa perjalanan penumpang sebanyak purata 10 hingga 10 minit bagi setiap perjalanan. Laluan berbasikal pula akan menghubungkan Rangkaian Penghubung Taman dan laluan-laluan berbasikal di kawasan sekitar bandar HDB di sepanjang koridor tersebut.
"NSC direka bentuk secara khusus untuk menyokong visi kami untuk kurang bergantung pada kereta dengan juga memenuhi keperluan mereka yang tidak memandu," jelas LTA.
Kontrak pertama bernilai S$365.9 juta diberi kepada sebuah konsortium meliputi syarikat binaan Wai Fong Construction, China Civil Engineering Construction Corporation cawangan Singapura dan China Railway 11 Bureau Group Corporation (cawangan Singapura).
Konsortium tersebut akan mereka bentuk dan membina laluan sepanjang 3.1 kilometer di koridor NSC antara Sungei Seletar dengan Yishun Avenue 5.
Peta lokasi bagi bahagian lorong Koridor Utara-Selatan antara Sungei Seletar dengan Yishun Avenue 5. (Gambar: LTA)
Menurut LTA, para anggota kontraktor konsortium itu mempunyai "rekod prestasi yang kukuh".
Syarikat Wai Fong Construction misalnya sedang terlibat dalam pembinaan stesen-stesen Hong Kah dan Corporation di Laluan Daerah Jurong (JRL) akan datang serta beberapa stesen serta terowong Laluan Thomson-East Coast (TEL).
Syarikat itu juga bertanggungjawab dalam pembinaan stesen Xilin dan terowong bagi Fasa 3 Laluan Downtown (DTL3)
Kumpulan syarikat China Railway 11 Bureau Group Corporation (cawangan Singapura) baru-baru ini dianugerahkan kontrak untuk membina depot Tengah JRL dan dua stesennya.
Kontrak kedua dan ketiga, bernilai S$588.2 juta secara keseluruhannya, diberikan kepada syarikat Hyundai Engineering and Construction.
Syarikat itu akan mereka bentuk dan membina bahagian koridor antara Yishun Avenue 5 dengan Admiralty Road West sepanjang 4.5 kilometer.
Ia juga terlibat dalam pembinaan stesen Macpherson di DTL3, beberapa stesen di Laluan Timur Laut dan depot Sengkang di NEL.
Peta lokasi bagi bahagian lorong Koridor Utara-Selatan antara Yishun Avenue 5 dengan Admiralty Road West. (Gambar: LTA)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.