Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembimbing MENDAKI akan ke rumah ajar matematik bagi murid awal sekolah rendah

Anggaran Waktu Membaca:
Pembimbing MENDAKI akan ke rumah ajar matematik bagi murid awal sekolah rendah

Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman.

SINGAPURA: MENDAKI akan mengambil langkah untuk mengukuhkan sokongan bagi pelajar dalam pelajaran Matematik di peringkat awal sekolah rendah. Bukan hanya di darjah enam seperti sekarang ini.

Demikian dedah Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman di parlimen semasa membahaskan Jawatankuasa Peruntukan bagi Ehwal Masyarakat Islam hari ini (10 Mac).

"Bagi kanak-kanak yang telah dikenal pasti memerlukan sokongan tambahan, MENDAKI akan mengerahkan pembimbing ke rumah mereka untuk mengajar Matematik kepada pelajar darjah satu hingga darjah tiga," kata beliau.

Walaupun ini sekali gus suatu pendekatan yang lebih intensif dan memerlukan sumber yang lebih tinggi, Dr Maliki mengisytiharkan bahawa "kami bersedia".

Tambah beliau lagi, pihaknya ingin para pembimbingnya memberi sokongan khusus kepada kanak-kanak berkenaan mengikuti rentak pembelajaran mereka masing-masing sambil akur bahawa setiap insan mempunyai kekuatan masing-masing.

Beliau juga yakin bahawa kehadiran pembimbing tersebut akan dapat memberi inspirasi dan memperkasa ibu bapa supaya lebih prihatin dengan pendidikan anak-anak.

"Langkah-langkah 'upstream' ini mungkin kecil tetapi amat penting bagi membangun kemahiran kanak-kanak di peringkat awal dan meningkatkan keyakinan diri serta daya tahan mereka," kata Dr Maliki.

"Pada jangka masa panjang, usaha-usaha dalam pendidikan awal kanak-kanak akan mempertingkatkan mobiliti sosial bagi keluarga-keluarga ini, generasi demi generasi," tegas beliau.

HASIL POSITIF KMM & KSS

Dr Maliki membentangkan inisiatif baru itu sedang program KelasMateMatika (KMM) kendalian MENDAKI berjaya mendekati hampir 1,700 ibu bapa dan lebih dari 1,800 kanak-kanak tahun lalu. Sebanyak 83 peratus peserta KMM datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Memberikan hasil program itu, Dr Maliki berkata lebih 80 peratus pelajar KMM tahun lalu berasa lebih bersedia apabila memasuki darjah satu, tanpa perlu mengikuti Program Sokongan Pembelajaran bagi Matematik.

"Saya terharu dan bangga kerana ramai ibu bapa mengambil inisiatif untuk mengikuti KMM. KMM telah menunjukkan kesan positif," kata beliau.

Dr Maliki juga menarik perhatian program Kelas Siap Sekolah (KSS) pula mencapai kadar penyertaan 98 peratus pelajar daripada sasaran 100 pelajar tahun lalu.

Ibu bapa juga meraih manfaat daripada program KSS, kata Dr Maliki.

Ini selepas 90 peratus ibu bapa berkata mereka akan menggunakan pendekatan yang dikongsi program itu bagi membimbing anak-anak mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa