Skip to main content

Singapura

Pembersihan haram hutan Kranji: Naib presiden CPG Consultants didenda S$26,000

Seorang naib presiden di CPG Consultants didenda S$26,000 oleh sebuah mahkamah pada Khamis (19 Jan) kerana terbabit dalam pembersihan haram sebahagian hutan di Kranji.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembersihan haram hutan Kranji: Naib presiden CPG Consultants didenda S$26,000

Kawasan hutan di Kranji pada 17 Feb 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 19 Jan 2023 05:50PM

SINGAPURA: Seorang naib presiden di CPG Consultants didenda S$26,000 oleh sebuah mahkamah pada Khamis (19 Jan) kerana terbabit dalam pembersihan haram sebahagian hutan di Kranji.

Jimmy Liu Wing Tim, 63 tahun, mengaku bersalah ke atas empat tuduhan di bawah Akta Taman dan Pokok serta Akta Hidupan Liar.

Tiga lagi tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Liu dalam kalangan empat pegawai dari CPG Consultants serta Jurong Town Corporation (JTC) yang melanggar peraturan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) dan menyebabkan pokok-pokok di kawasan itu ditebang tanpa kelulusan.

Penebangan itu juga dilakukan tanpa mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan syarat berkaitan hidupan liar dipatuhi.

Mahkamah diberitahu bahawa sebab bagi meneruskan dengan kerja-kerja penebangan itu, meskipun ia melanggar peraturan, adalah untuk memenuhi garis masa dan mengelakkan projek daripada tertangguh.

Tiga individu lain yang dituduh bersama Liu ialah mantan Timbalan Pengarah JTC Chong Pui Chih, bekas pekerjanya Neo Jek Lin dan Pengarah CPG Tan See Chee.

Keempat-empat individu itu terbabit dalam pembangunan sebuah Taman Inovasi Agri-Makanan di sebidang tanah di Kranji Close dan Kranji Road.

Tempat itu akan menempatkan pertanian berteknologi tinggi serta aktiviti kajian dan pengembangan seperti kilang tanam-tanaman dalam bangunan, ladang serangga dan kemudahan penghasilan makanan haiwan.

Tapak di Kranji itu berukuran sekitar 18.4 hektar - iaitu saiz kira-kira 26 padang bola - yang dibahagikan kepada 10 bidang tanah. Kerja pembangunan itu memerlukan pokok-pokok ditebang namun kelulusan diperlukan bagi sebarang penebangan pokok dengan lilitan melebihi 1 meter yang tumbuh di mana-mana tanah kosong.  

JTC mendapatkan khidmat CPG sebagai konsultan awam dan struktur serta selaku juruukur bahan bagi projek kerja tanah dan prasaranan di tapak Kranji itu.

Walaupun peranan JTC adalah untuk memantau perkembangan kerja binaan projek tersebut, CPG bertanggungjawab atas kerja binaan dan reka bentuk mengikut reka bentuk yang diluluskan.

CPG juga bertanggungjawab dalam memastikan kelulusan yang diperlukan diperolehi daripada pihak berkuasa relevan sebelum sebarang kerja dijalankan.

Keempat-empat tertuduh mendapat tahu NParks memerlukan langkah-langkah tambahan untuk dilaksanakan bagi melindungi hidupan liar, keselamatan awam, kesihatan awam dan ekosistem.

Bagaimanapun, mereka tetap meneruskan dengan rancangan untuk menebang pokok tanpa melaksanakan langkah-langkah sedemikian terlebih dahulu.

Mereka sedar projek itu sudah pun tertangguh disebabkan oleh pandemik COVID-19, yang menyebabkan kerja-kerja terbantut di tapak Kranji dari April 2020 hingga Ogos 2020.

Justeru, mereka bimbang projek itu akan tertangguh lagi disebabkan kerana perlu memenuhi syarat-syarat berkaitan hidupan liar.

Neo dan Chong dari JTC mencadangkan agar mereka meneruskan sahaja dengan penebangan pokok dan kerja-kerja membersihkan tapak sementara pada masa yang sama, usaha dilaksanakan bagi memenuhi keperluan berkaitan hidupan liar.

Walaupun mereka sedar ini satu pelanggaran undang-undang, Liu dan Tan bersetuju dengan cadangan itu.

Mereka memberi arahan kepada kontraktor terlibat untuk menebang pokok-pokok di beberapa bidang tanah di kawasan hutan Kranji itu.

Akibatnya, sebanyak 362 batang pokok dengan lilitan berukuran melebihi satu meter yang tumbuh di tanah kosong itu ditebang.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita