Skip to main content

Singapura

Pemberhentian pekerja Lazada: Kesatuan sekerja tidak dimaklumkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesatuan yang mewakili pekerja Lazada melahirkan rasa kecewa terhadap langkah pemberhentian terbaru syarikat itu, sambil menambah bahawa ia tidak dimaklumkan atau diajak berunding.

"Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Sekerja Makanan, Minuman dan Sekutu (FDAWU) (FDAWU) amat kecewa kerana Lazada telah memulakan pemberhentian kerja tanpa memberitahu dan berunding dengan FDAWU, memandangkan Lazada adalah kesatuan di bawah FDAWU," kata NTUC dalam satu kenyataan.

FDAWU telah menulis surat kepada Lazada bahawa langkah sedemikian "tidak boleh diterima", dan perkara itu telah dirujukkan ke Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Mediacorp difahamkan bahawa proses pemberhentian itu, yang bermula pada pagi Rabu sedang dijalankan. Pekerja yang bercakap dengan Mediacorp berkata beberapa orang menangis selepas mendapat berita itu dan bingung dengan pengumuman yang dibuat secara mengejut.

Jurucakap Lazada berkata pada petang Rabu bahawa syarikat itu "membuat penyesuaian proaktif untuk mengubah tenaga kerja kami", tetapi tidak menjawab soalan mengenai skala pembuangan kerja itu dan sebab pemberhentian dilakukan.

Mediacorp telah menghubungi Lazada dan MOM untuk mengulas kenyataan NTUC itu.

"NTUC menyokong FDAWU dan pekerja yang terjejas. Kami juga amat kecewa dengan langkah Lazada ini," kata kenyataan itu.

"NTUC ingin menekankan bahawa adalah penting bagi syarikat untuk bekerjasama dengan kesatuan mereka bagi memastikan proses yang adil dan saksama dijalankan untuk menjaga kepentingan semua pekerja, terutamanya pekerja warga Singapura."

ELAK TEMPOH PERAYAAN UNTUK BUANG PEKERJA

Menurut NTUC meskipun pemberhentian pekerja "mungkin tidak dapat dielakkan", ia harus hanya dilakukan sebagai pilihan terakhir.

Syarikat mesti mempertimbangkan semua pilihan lain sebelum memberhentikan pekerja, tambahnya.

Kesatuan itu merayu kepada syarikat supaya mengambil pendekatan "bertimbang rasa apabila memilih untuk menjalankan tindakan sedemikian dan mengelakkan melakukannya semasa tempoh perayaan, sebaik mungkin".

Kakitangan Lazada yang bercakap dengan Mediacorp menganggarkan hampir 100 orang telah dimaklumkan dibuang kerja setakat ini. Mereka yang terjejas adalah daripada jabatan berbeza di seluruh syarikat.

Mereka juga berkata proses pemberhentian pekerja dilakukan dengan cara yang tidak "berperikemanusiaan".

Sesetengah pekerja menambah bahawa pakej pemberhentian kerja adalah lebih rendah daripada jangkaan dan lebih teruk daripada apa yang ditawarkan oleh syarikat teknologi lain – seperti Shopee dan Grab – kepada pekerja mereka yang diberhentikan tahun lepas.

Pejabat pemerintah yang menyokong pertumbuhan sektor teknologi, Digital Industry Singapore berkata pada Rabu bahawa ia bekerjasama dengan Lazada dan agensi pemerintah lain untuk membantu pekerja yang terjejas dengan peluang pekerjaan alternatif.

Syarikat yang memberhentikan pekerja harus "memastikan keterbukaan, ketelusan, dan berunding dengan kesatuan sekerja dan pekerja", kata NTUC.

Ia harus mematuhi prinsip panduan dalam Rangka Kerja Pemberhentian Adil NTUC dan Nasihat PerikatanTiga Pihak mengenai Menguruskan Lebihan Tenaga Manusia dan Pemberhentian Bertanggungjawab.

"NTUC ingin memberi jaminan kepada pekerja yang terjejas bahawa anda adalah keutamaan kami," katanya.

Ia menasihatkan pekerja yang terjejas supaya menghubungi FDAWU untuk mendapatkan bantuan.

Diasaskan pada 2012 oleh Rocket Internet, Lazada telah diambil alih oleh Kumpulan Alibaba pada 2016. Lazada Singapore ialah ibu pejabat serantau bagi usaha niaga edagang Alibaba di Asia Tenggara.

Ia mempunyai syarikat di enam negara di rantau ini – Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Mac lalu, Alibaba mengumumkan penyusunan semula struktur yang ketara dan berpecah kepada enam kumpulan perniagaan. Lazada kini diletakkan di bawah Perdagangan Digital Antarabangsa Alibaba, bersama dengan platform edagang lain seperti AliExpress, Trendyol dan Daraz.

Pada Disember lalu, Kumpulan syarikat Alibaba mengumumkan pelaburan tambahan AS$634 juta (S$843 juta) ke dalam Lazada.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita