Skip to main content

Singapura

Pemberhentian pekerja: Dyson tidak langgar undang-undang SG, mungkin jejas reputasi

Anggaran Waktu Membaca:
Pemberhentian pekerja: Dyson tidak langgar undang-undang SG, mungkin jejas reputasi

(Gambar fail: CNA)

Diterbitkan : 08 Oct 2024 01:14PM
SINGAPURA: Apabila Dyson melakukan pemberhentian pekerja 'secara mengejut' di Singapura minggu lalu, ia menerima teguran daripada kesatuan yang mewakili pekerjanya mengenai notis sehari yang diberikan untuk memaklumkan mengenai pemberhentian pekerja itu.

Walaupun firma perkakas pengguna itu mematuhi undang-undang, cara pemberhentian itu dilakukan mungkin menjejaskan reputasinya, kata penganalisis perniagaan kepada Mediacorp.

Profesor Lawrence Loh dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata: “Ia bukan hanya mengenai undang-undang, tetapi semangat menjadi majikan yang baik. Syarikat itu perlu mengekalkan reputasinya.”

Pekerja berkemungkinan terkejut kerana Dyson pada Julai menyatakan bahawa pejabat Singapura tidak akan terjejas secara langsung oleh pemberhentian pekerjaan di Britain.

"Apa yang syarikat katakan pada masa itu adalah tepat, ia tidak mempunyai rancangan," kata Profesor Loh. "Tetapi apabila (pengumuman) dibuat - 24 jam, satu e-mel, satu mesyuarat - anda diberhentikan."

Dengan hanya satu hari notis, kesatuan tidak mempunyai masa untuk mendampingi pihak-pihak terlibat untuk berbincang atau mencari cara yang lebih baik untuk menangani pemberhentian.

Dyson tidak sepatutnya "mengabaikan butiran-butiran akhir", kata Profesor Loh, terutamanya sejak syarikat itu memindahkan ibu pejabatnya ke Singapura dari United Kingdom "dengan besar-besaran" pada 2022.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura menyatakan bahawa tempoh notis yang diberikan kepada United Workers of Electronics & Electrical Industries boleh dirunding kerana pekerja yang diberhentikan tidak mempunyai kesatuan sekerja.

Kesatuan itu, yang mewakili pekerja dalam industri elektronik, menyatakan minggu lalu bahawa kakitangan yang diberhentikan itu dipercayai menerima pakej pampasan gaji sebulan bagi setiap tahun bekerja, yang merupakan kebiasaan bagi kesatuan itu.

Bagaimanapun, ia berkata tidak pasti sama ada terdapat had pada pakej itu dan tetap bimbang ia tidak menerima maklumat lanjut daripada Dyson mengenai siapa pekerja yang terjejas.

Syarikat itu menyatakan bahawa ia sudah "memaklumkan dengan penuh hormat" kepada kesatuan itu terlebih dahulu dan bahawa ia mengikut semua garis panduan lazim daripada MOM.

Di Singapura, ini memberi gambaran tidak baik terhadap Dyson, kata Profesor Loh, sambil menarik perhatian kepada "penjenamaan keseluruhan" - sebagai sebuah syarikat dengan banyak produk pengguna untuk dijual - mungkin terjejas.

Penolong Profesor Jared Nai, yang mengajar tingkah laku organisasi dan sumber manusia di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata Dyson mungkin memilih untuk tidak memberikan tempoh notis yang lebih lama atau lebih banyak maklumat kepada kesatuan itu "atas sebab perniagaan yang hanya boleh dijawab oleh syarikat".

"Tindakan ini menjejaskan semangat pekerja sedia ada dan reputasi syarikat dengan bakal pekerja masa depan, tetapi mungkin, ia menentukan pertukaran itu bermanfaat untuk tujuannya," tambahnya, sambil menyatakan bahawa pampasan adalah serupa dengan norma yang disyorkan.

Dr Chew Soon Beng, seorang sekutu kanan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) ingin dimaklumkan oleh firma sebelum mereka memberhentikan pekerja bukan kerana mahu campur tangan dalam keputusan pengurusan, tetapi kerana ia mahu membantu pekerja yang terjejas mencari pekerjaan baharu atau memberikan bantuan dengan cara lain.

Dr Chew, yang menulis buku tentang dasar buruh dan kesatuan sekerja di Singapura sebelum ini, menambah bahawa Persekutuan Majikan Nasional Singapura boleh memainkan peranan dalam bidang ini juga, kerana syarikat sepatutnya berasa lebih dekat dengan persekutuan berbanding dengan NTUC dan MOM.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita