Pemberhentian mengejut di Lazada buat pekerja sedih, dalam kebingungan
Gambar: iStock
SINGAPURA: Apabila para pekerja Lazada kembali ke pejabat pada tahun baharu, mereka dapat merasakan sesuatu yang tidak kena oleh kerana semua bilik mesyuarat telah ditempah bagi slot berturut-turut.
Sesetengah mereka malah menerima undangan mesyuarat pada malam sebelumnya, atau hanya beberapa jam sebelum sesi tersebut, di mana mereka dimaklumkan bahawa mereka telah dipecat. Ada pula yang perlu membatalkan cuti mereka untuk kembali bagi menghadiri mesyuarat tergempar itu.
Sebahagian daripada mereka menangis, terutama sekali pada Rabu (3 Jan) memandangkan khabar tersebut tidak dijangkakan sama sekali.
Demikian dikongsikan para pekerja Lazada kepada Mediacorp.
Beginilah gambaran yang diberikan tiga pekerja Lazada, yang ditemui Mediacorp atas syarat identiti mereka tidak didedahkan, mengenai proses pengurangan tenaga kerja itu, yang mula dilaksanakan dari Rabu pagi di ibu pejabat serantau syarikat gergasi e-dagang di Singapura itu.
Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak adil", "tidak telus" dan "membingungkan", sambil mencetuskan kebimbangan dan spekulasi dalam kalangan rakan sekerja mereka disebabkan kurangnya ketelusan.
CNA difahamkan bahawa pemberhentian kerja itu masih dijalankan. Kebanyakan pekerja Lazada yang ditemui Mediacorp, enggan mengulas sambil menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui banyak.
Ketiga-tiga mereka yang bersetuju untuk ditemubual menganggarkan bahawa hampir seratus orang telah dimaklumkan mengenai pemberhentian kerja mereka setakat ini, dalam kalangan rakan sekerja. Mereka yang terjejas adalah daripada jabatan-jabatan di seluruh syarikat.
Beberapa jabatan mengurangkan sebahagian besar tenaga kerjanya, kata mereka, dengan salah satu daripadanya mengurangkan kira-kira 20 hingga 30 pekerja kepada hanya empat atau lima pekerja yang tinggal.
Mediacorp sudahpun berulang kali menghubungi Lazada Singapore mengenai pemberhentian kerja tersebut, yang awalnya dilaporkan oleh The Edge pada Rabu.
SYARIKAT SEDANG LAKUKAN 'ATURAN PROAKTIF'
Seorang jurucakap syarikat itu berkata pada Rabu bahawa syarikat tersebut "sedang melakukan aturan proaktif untuk mengubah tenaga kerja kami, bagi meletakkan kami di kedudukan yang lebih baik demi mewujudkan cara bekerja yang lebih tangkas, kemas supaya dapat memenuhi keperluan perniagaan kelak".
Pertanyaan mengenai tahap pemberhentian kerja yang dilaksanakan dan sebab langkah itu diambil masih tidak terjawab. Seorang kakitangan menganggarkan syarikat itu mempunyai kira-kira 8,000 hingga 10,000 kakitangan di Singapura, termasuk pasukan logistik.
Mediacorp difahamkan bahawa Lazada Singapore telah memecat beberapa pekerja tahun lalu, namun biasanya ia hanya menjejas beberapa orang atau jabatan tertentu. Walaubagaimana pun, kali ini, kakitangan daripada semua bahagian syarikat itu dan semua peringkat yang terjejas.
Ia "membingungkan" memandangkan ketiga-tiga pekerja itu berkata mereka melihat individu-individu yang menunjukkan prestasi cemerlang dan bahkan mereka yang baru sahaja dinaikkan pangkat, dan ia seolah-olah mustahil untuk mengetahui siapa seterusnya yang akan menghadapi nasib yang serupa.
BANTUAN DISEDIAKAN
Digital Industry Singapore, sebuah pejabat pemerintah yang menyokong pertumbuhan sektor teknologi di sini, menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerja rapat dengan Lazada dan agensi-agensi pemerintah lain untuk membantu para pekerja yang terjejas dalam menyediakan mereka dengan peluang pekerjaan alternatif.
Diasaskan pada 2022 oleh Rocket Internet, Lazada diperolehi oleh Alibaba Group pada 2016. Lazada Singapore merupakan ibu pejabat serantau bagi usaha e-dagang Alibaba di Asia Tenggara.
Ia telah menembusi pasaran di enam negara di rantau ini - Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam - dan pekerja-pekerja itu berkongsi bahawa mereka turut mendengar khabar mengenai pemberhentian kerja daripada rakan sekerja mereka di luar negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.